GRANIT XHAKA Xhaka hampir meninggalkan Arsenal pada penghujung 2019 selepas menerima kebencian daripada segenap penyokong kelab itu.

Pemain kebangsaan Switzerland itu berkata dia berasa 'amat tidak dihormati' selepas diejek oleh penyokong sendiri dalam satu insiden pada Oktober tahun berkenaan dan dia sedar bahawa dia tidak akan menjadi rakan buat kebanyakan penyokong kelab itu walaupun menjadi tonggak utama Arsenal.

Xhaka dilucutkan daripada tanggungjawab kapten susulan tindakannya membuang lilitan lengan ketika diejek penyokong sendiri sewaktu Arsenal terikat 2-2 dengan Crystal Palace tetapi dia kemudian kembali merebut tempatnya sebaik Mikel Arteta dilantik sebagai pengurus.

Pemain tengah itu melakukan 19 penampilan musim ini dan kesemuanya sebagai kesebelasan utama - di mana Arsenal kini sedang dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan - tetapi dia berkata bahawa dia tidak pernah lupa pengalaman bagaimana keadaannya meninggalkan padang setiap kali selepas tewas sesuatu perlawanan.

"Bagasi saya sudah dikemas, pasport sudah tersedia, saya sudah tak larat di Arsenal. Sudah cukup," kata Xhaka kepada Players' Tribune.

"Terdapat kontrak daripada kelab lain di atas meja dan apa yang perlu saya lakukan hanya menandatanganinya.

"Yang pertama, saya ingin menjelaskan bahawa saya sayangkan Arsenal, saya sentiasa dan masih lagi menyayanginya. Saya akan memberikan segala-galanya untuk kelab ini sehingga saya meninggalkannya. Saya juga tahu ada orang yang tidak suka saya, ia sebahagian daripada bolasepak dan saya memahaminya.

"Tetapi pada hari menentang Crystal Palace, ia sudah melampau. Saya dikeluarkan selepas hampir sejam permainan. Saya hampir tidak dapat bergerak apabila mendengar ejekan itu dan ia bukan hanya beberapa orang di penjuru, ia melibatkan ramai orang.

"Saya terkejut. Kebenciannya. Benar-benar satu kebencian. Saya tidak pernah ada masalah untuk dikritik tetapi apabila diejek oleh penyokong sendiri? Sebagai kapten? Ia berbeza, ia tentang kehormatan.

"Pada hari itu, saya rasa tidak dihormati. Komen-komennya sudah melampau, ia menjadi peribadi. Benar, saya adalah kapten Arsenal tetapi saya juga seorang manusia. Jadi, sebagai manusia, saya memberikan reaksi.

"Adakah saya salah berdasarkan apa yang saya lakukan? Benar, tetapi adakah saya akan melakukan sesuatu yang berbeza jika ia berlaku lagi esok? Sejujurnya saya tidak tahu.

"Sehingga hari ini, jika kami tewas, saya benci untuk berjalan di beberapa meter terakhir menuju keterowong pemain kerana saya masih mengingati setiap muka mereka. Orang yang sama masih duduk di sana," katanya.