KUALA LUMPUR: Tindakan Lee Zii Jia untuk meletakkan jawatan sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadi satu kerugian bagi badan induk berkenaan.

Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim berkata, BAM belum mempunyai pemain pelapis lain yang setanding untuk menggantikan Zii Jia buat masa ini.

“Sebenarnya ini adalah satu kerugian kepada BAM kerana seperti kita tahu, selepas Datuk Lee Chong Wei, sekarang ini kita ada Lee Zii Jia.

“Walaupun kita ada pemain-pemain baharu yang sedang meningkat naik seperti Ng Tze Yong, tetapi Tze Yong masih jauh lagi perjalanannya.

“Zii Jia pun sebenarnya masih jauh lagi langkahnya, cuma agak merugikan bagi pihak BAM kerana melepaskan pemain perseorangan utama negara.

“Walaupun kita tahu Zii Jia apabila beliau bermain secara profesional pun tetap mewakili negara tetapi bagi pihak BAM itu, ia amat merugikanlah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

BACA: Lee Zi Jia letak jawatan pemain BAM 

Tambah Roslin, 46, tindakan yang diambil Zii Jia itu seolah-olah memperjudikan nasib untuk mengorak langkah di luar dan tidak lagi berada di bawah badan induk BAM.

“Ia seolah-olah mencuba nasib di luar, kerana bagi saya kemungkinan mereka (pemain badminton) membuat keputusan untuk keluar daripada BAM ini mungkin kerana tidak berasa tenang dalam kem itu.

“Ataupun mereka tidak bebas untuk membuat apa yang mereka inginkan, mungkin ada halangan, jadi mereka mungkin cuba nasib di luar.

“Mereka tahu agak sukar untuk berada di luar, tetapi mereka lebih rela berada di luar daripada berada di dalam (BAM). Boleh dikatakan mereka memperjudikan nasib mereka apabila berada di luar,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, BAM mengesahkan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia telah menghantar surat peletakan jawatan dan akan bergerak secara profesional.

Difahamkan BAM akan mengeluarkan keputusan dan kenyataan rasmi Jumaat ini.