Inovasi pintar tiga anak muda dari Sarawak bersinar di Taiwan

Astro Awani
Disember 20, 2019 10:20 MYT
Kegembiraan terpancar pada wajah pelajar-pelajari SMK Merbau, Miri selepas mengharumkan nama negara dalam Ekspo Rekaan dan Inovasi Antarabangsa di Taiwan.
Tiga pelajar dari SMK Merbau, Miri mengharumkan nama negara apabila rekaan pemadam papan putih mesra alam ciptaan mereka menerima anugerah serta memperoleh pingat emas dalam Ekspo Rekaan dan Inovasi Antarabangsa.
Pertandingan yang berlangsung dari 6 sehingga 8 Disember itu diadakan di Kaohsiung, Taiwan.
Pasukan itu diwakili pelajar tingkatan lima SMK Merbau iaitu Richard Laing, Vanessa Serawa Suel dan Emmelyn Manyie Sibat.
Inovasi Evra Smart-G itu dianugerahkan pingat emas dari World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) serta serta anugerah khas dari Norton University Kingdom of Cambodia Nation Religion King sekali gus menjadikan pasukan itu juara kejohanan tersebut.
Bagi Vanessa Serawa Suel, banyak perkara yang dipelajari melalui penyertaannya dalam kejohanan tersebut.
“Di sepanjang pertandingan itu, saya banyak belajar tentang erti berdikari. Benar, ada guru pengiring tetapi kami sebagai pelajar banyak melakukan sesuatu dengan sendiri. Malah, kita dapat memahami mengenai sesuatu produk, idea dan boleh mempersembahkan dengan baik,” katanya.
The Evra Smart-G merupakan alat bantu mengajar yang boleh diguna semula.
Ia bukan hanya mampu mengelak penggunaan plastik dan polistren, bahkan, sarung tangan ini memudahkan para guru memadam papan putih tanpa menjejaskan kulit tangan.
Pesaingan sengit itu turut menyaksikan penglibatan beberapa negara antaranya Romania, Croatia, Saudi Arabia dan Iran.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Ekspo Rekaan dan Inovasi Antarabangsa #Evra Smart-G #Kaohsiung #Miri #Sarawak #SMK Merbau Miri #Taiwan