SAO PAULO: Mahkamah Brazil pada Khamis mendenda Apple Inc 100 juta reais (AS$19 juta atau RM90 juta), dan memutuskan penjualan iPhone baharu di negara itu perlu disertakan dengan pengecas bateri.

"Adalah jelas bahawa, di bawah justifikasi 'inisiatif hijau,' pihak defendan memaksa pengguna membeli pengecas yang diperlukan yang sebelum ini dibekalkan bersama produk itu," menurut kenyataan Mahkamah Negeri Sao Paulo.

Mahkamah memutuskan perkara itu dalam tuntutan yang difailkan persatuan peminjam, pengguna dan pembayar cukai yang berhujah bahawa syarikat itu melakukan tindakan tidak wajar dengan menjual produk tanpa pengecas.

Apple dalam kenyataannya berkata ia akan merayu terhadap keputusan itu, lapor Reuters.

Sebelum ini, firma teknologi itu berhujah bahawa amalan itu bertujuan mengurangkan kadar pelepasan karbon.