SEBUAH batu nisan didirikan di Korea Selatan untuk memperingati Internet Explorer selepas Microsoft mengumumkan penutupan pelayar web Microsoft yang pernah dominan satu ketika dulu itu, pada Rabu.

Bagi jurutera perisian Korea Selatan, Jun Ki-Young, keputusan Microsoft untuk menamatkan pelayar web itu menandakan berakhirnya hubungan suka dan duka selama suku abad dengan teknologi itu.

Bagi memperingati pemergian Internet Explorer, Ki-Young menghabiskan masa sebulan dan 430,000 won (RM,1500) untuk mereka bentuk dan menempah batu nisan dengan logo 'e' Explorer dan kapsyen berbahasa Inggeris 'Ia adalah alat yang baik untuk memuat turun pelayar web lain'.

Selepas batu nisan itu dipertontonkan di sebuah kafe yang dikendalikan oleh abangnya di bandar selatan Gyeongju, gambar batu nisan itu menjadi viral.

Microsoft mengecilkan sokongan untuk Internet Explorer selepas 27 tahun untuk menumpukan pada pelayarnya yang lebih pantas, Microsoft Edge.

Jung berkata peringatan itu menunjukkan perasaan bercampur-campurnya terhadap perisian yang lebih lama yang telah memainkan peranan besar dalam kehidupan kerjayanya.

"Ia adalah satu perkara yang sukar dan menyakitkan, tetapi saya menggelarnya sebagai hubungan suka dan duka kerana Explorer sendiri pernah mendominasi satu era," katanya kepada Reuters.

Beliau berkata, dirinya mengambil masa yang lebih lama untuk memastikan laman web dan aplikasi dalam taliannya berfungsi dengan Explorer, berbanding dengan pelayar web lain.

Bagaimanapun, ia terus mendapat permintaan pelanggan yang mahu laman web mereka kelihatan baik dengan Explorer, yang kekal sebagai pelayar web 'default' di pejabat kerajaan Korea Selatan dan banyak bank selama bertahun-tahun.

Dilancarkan pada 1995, Explorer menjadi pelayar web terkemuka dunia selama lebih  satu dekad kerana ia digabungkan dengan sistem pengendalian Windows Microsoft yang diprapasang dalam berbilion-bilion komputer.

Tetapi, ia mula kalah kepada Chrome Google pada akhir 2000 dan menjadi subjek meme internet yang tidak terkira banyaknya dengan beberapa pembangun mencadangkan ia lembap berbanding pesaingnya.

Selepas 27 Tahun | Selamat tinggal 'Internet Explorer'

Jung berkata, dia bermaksud untuk membuat orang ketawa dengan batu nisan itu, tetapi tidak menyangka jenakanya begitu meluas diperkatakan dalam kalangan netizen.

“Itu satu lagi sebab untuk saya berterima kasih kepada Explorer, ia kini membolehkan saya membuat jenaka bertaraf dunia.

"Saya kesal kerana ia kini tiada lagi, tetapi saya tidak akan merinduinya. Jadi, persaraannya, bagi saya, adalah kematian yang baik," katanya.