KUALA LUMPUR: Astro AWANI memulakan langkah dalam dunia metaverse apabila bakal menerbitkan NFT khas edisi #Merdeka65 bermula 31 Ogos ini.

Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada langkah strategik untuk meneroka potensi baharu dalam dunia pemberitaan dan maklumat.

Katanya lagi, Web3 merupakan elemen masa hadapan yang mempunyai potensi besar merentasi pelbagai sektor termasuklah industri media dan penerbitan kandungan.

"Dengan penerbitan NFT edisi khas #Merdeka65, Astro AWANI dapat meneroka teknologi baharu bersama-sama dengan pengguna untuk bereksperimentasi dengan pelbagai platform dan format agar penyampaian sesuatu maklumat menjadi lebih dinamik, berkesan dan pelbagai" katanya.

Bagi Presiden MNC, Shafuddin, pelancaran NFT ini amat bersejarah memandangkan Astro AWANI menjadi jenama berita pertama di Malaysia yang memulakan projek NFT.

“Selaras dengan Hari Kebangsaan, NFT ini sedikit sebanyak akan menjadi sejarah baharu bagi peminat NFT di Malaysia,” katanya lagi.

Malah, bagi Khalid Gibran, Ketua Pegawai Eksekutif Meta Universe Sdn Bhd, penerbitan NFT #Merdeka65 bakal menarik minat orang ramai untuk menambahkan ilmu dalam dunia Web3 dan metaverse.

“Kami yakin bahawa lebih banyak perniagaan tradisional dan entiti media akan mengikutinya kerana Awani telah memulakannya,” jelas Khalid.

Ada apa dengan NFT #Merdeka65 ?

NFT #Merdeka65 akan ditempa sebanyak 65 unit yang diinspirasikan daripada perkongsian foto di media sosial kepada Astro AWANI.

Penghasilan NFT ini menggabungkan semangat Hari Kebangsaan Malaysia yang merangkumi pelbagai latar belakang dengan elemen digital masa depan.

Ia akan diberikan secara percuma dalam satu sesi khas yang akan diumumkan kelak.

Projek turut digerakkan dengan kerjasama Kelab NFT Malaysia (MNC) dan Meta Universe Sdn Bhd.

Bagaimana untuk mendapatkannya?

Layari http://pulse.astroawani.com/nft untuk mendaftarkan diri dan sertai kami menerusi akaun Discord rasmi Astro AWANI.

Maklumat lanjut akan turut dikongsikan di semua platform media sosial Astro AWANI dari masa ke masa.