Tahun 2018 menyaksikan carian paling serius untuk rakyat Malaysia

Hilal Azmi
Disember 12, 2018 09:40 MYT
Tahun 2018 agak menarik untuk dilihat memandangkan hasil carian yang tular berbeza berbanding tahun sebelumnya.
'World Cup', 'SPR' dan 'Astro AWANI' menjadi tiga kata kunci paling trending dalam carian Google Malaysia untuk sepanjang tahun 2018.
Ketua Komunikasi dan Hubungan Awam, Google Malaysia , Zeffri Yusof berkata, tahun 2018 agak menarik untuk dilihat memandangkan hasil carian yang tular berbeza berbanding tahun sebelumnya.
"Kalau dilihat sebelum ini, kebanyakan carian trending membabitkan selebriti dan cerita gosip tetapi untuk tahun 2018, carian rakyat Malaysia lebih bersifat politik.
"Ia dibuktikan menerusi carian individu yang menyaksikan kebanyakan carian paling tinggi membabitkan ahli politik," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Tambah Zeffri, berdasarkan data carian yang ditunjukkan membuktikan bahawa pengguna internet di Malaysia jauh lebih matang jika dibandingkan dengan kebanyakan negara ASEAN.
"Dengan lebih daripada 20 juta pengguna Malaysia memang menggunakan internet secara harian, tahap penggunaan online dan internet rakyat Malaysia kini hampir setaraf dengan negara-negara maju seperti Korea Selatan malah kebanyakannya pengguna di Malaysia menggunakan carian menggunakan smart phone," katanya lagi.
Bagi tahun 2019 pula, Zeffri menyifatkan jenis carian yang mungkin menjadi perhatian bergantung kepada program mahupun aktiviti yang menjadi perhatian ramai seperti pilihan raya kecil mahupun peristiwa bersejarah lain.
Malah, ketika ditanya mengenai trend tahun hadapan terutamanya dalam bidang perniagaan, Zeffri menyifatkan wujud perkembangan positif dalam kalangan komuniti perniagaan di Malaysia.
"Perubahan dan perkembangan Google daripada sebuah enjin carian kepada enjin cadangan juga menjadikan kebanyakan perniagaan di Malaysia memanfaatkan teknologi ini.
"Jadi, untuk bisnes di Malaysia telah mula menggunakan senarai yang telah kami berikan serta aplikasi-aplikasi lain yang mesra perniagaan," tambahnya lagi.
Berikut ialah senarai ‘Setahun dalam Carian Malaysia’ 2018 oleh Google Malaysia:
#Astro Awani #Carian Google 2018 #Google #Google Trending Topic #Google Trends #Keyword Google #Korea Selatan #pilihan raya #Suruhanjaya Pilihan Raya