KUALA LUMPUR: Kadar serangan siber terhadap organisasi atau individu di seluruh dunia meningkat dengan ketara sehingga mencapai tahap satu serangan setiap sembilan saat, menurut Veritas Technologies Malaysia.

Pengarah negara Sandy Woo berkata trend serangan siber terus meningkat berbanding satu serangan setiap 11 saat yang dicatatkan pada dua tahun lepas berikutan penyerang atau penggodam yang berniat jahat menggunakan teknik dan peralatan yang lebih canggih untuk memperoleh data.

"Terdapat banyak lompong atau serangan permukaan yang sangat terdedah kepada pelaku yang memudahkan mereka untuk pergi ke infrastruktur organisasi dan mencuri data mereka.

"Kebanyakan syarikat dan perniagaan yang menyimpan data yang berharga terdedah kerana data berada di mana-mana, sama ada ia dihoskan dalam perkhidmatan awan, yang tidak berdekatan dengan organisasi atau dalam peranti mudah alih kita," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pendekatan terbaik bagi mengatasi risiko data dicuri dan kemudiannya diugut untuk organisasi adalah dengan melaksanakan strategi tiga lawan satu.

"Pendekatan ini memerlukan perniagaan mempunyai tiga salinan data mereka di dua lokasi berbeza dan satu lokasi lain yang jauh daripada pengeluaran semasanya.

"Ini adalah pendekatan yang sangat baik bagi perusahaan untuk memastikan bahawa dalam sebarang kes gangguan, ada cara untuk mereka pulih dan memastikan kesinambungan perniagaannya," katanya.

Beliau berkata organisasi perlu mempraktikkan beberapa latihan atau simulasi serangan siber untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pekerja untuk memastikan kesinambungan perniagaan kekal sebagai keutamaan apabila mengalami serangan.

Sandy berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sangat disasarkan oleh penyerang disebabkan kekurangan sumber untuk mereka mengambil tindakan mempertahankan dan mengesan ketika serangan siber.

"PKS digalakkan untuk melanggan perkhidmatan yang sedia ada di pasaran supaya mereka mendapat akses kepada tahap perlindungan dan pertahanan yang betul selain daripada terus mewujudkan kesedaran dalam kalangan pekerjanya dengan teknik terkini serangan siber," tambahnya.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa Malaysia merekodkan sejumlah 57.8 juta serangan virus pada suku pertama 2022 yang menyumbang 1.14 peratus daripada jumlah serangan siber di seluruh dunia.

-- BERNAMA