KUALA LUMPUR: Haiwan peliharaan seperti kucing, bagi kebanyakan orang, bukan hanya setakat haiwan, tetapi sudah dianggap sebahagian daripada keluarga.

Justeru, sambutan hari raya juga perlu mengambil kira persiapan untuk haiwan kesayangan itu.

Doktor veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata, mereka yang membuat keputusan enggan membawa pulang si comel ke kampung, boleh meninggalkannya di rumah namun perlu memberi penekanan kepada beberapa aspek.

"Kita tahu perangai kucing kita, mungkin kalau bawa pergi travel akan jadi kelam kabut, jadi tinggalkan kucing di rumah merupakan opsyen yang baik kerana rumah tempat yang dia sudah biasa, kemungkinan untuk kucing tertekan sangat kurang.

"Kucing lebih attach dengan kawasan yang ia sudah biasa tetapi ada syaratnya, 24 jam itu sudah cukup lama bagi kucing ditinggalkan. Tetapi nama pun balik kampung, jadi tempoh tiga hari dua malam itu paling maksimum. Jika ada perlu tinggalkan kucing lebih lama dari itu, kena cari opsyen lain.

"Dalam tempoh tiga hari dua malam itu boleh minta tolong jiran, kawan atau saudara mara yang mungkin tidak balik kampung. Pemilik kena sediakan makanan secukupnya menerusi autofeeder, letak beberapa bekas air yang stabil yang tidak boleh diterbalikkan atau lebih mudah sediakan water fountain kerana kucing sukakannya.

"Satu lagi, litter boxes sangat penting, itu sebabkan saya letakkan maksimum tiga hari sahaja untuk tinggalkan kucing di rumah. Sediakan bekas pasir yang banyak, jumlah yang disarankan ialah plus 1, maknanya kalau kucing tiga ekor, sediakan pasir untuk empat ekor.

"Perkara ini nampak remeh tetapi penting terutama bagi kucing yang pembersih, kalau kotor atau ada najis kucing lain dia ada tendency untuk tahan daripada membuang air, dan ini akan menyebabkan masalah kesihatan seperti batu karang, jangkitan pundi kencing atau dia akan buang air merata-rata.

"Apa yang kita risau apabila psikologi dan emosi kucing terjejas kerana litter box tidak diurus dengan baik," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Turut perlu diberi perhatian ialah aspek keselamatan iaitu memastikan semua pintu dan tingkap berkunci, serta pengaliran udara yang baik di dalam rumah.

Bagi yang mahu membawa pulang si comel bersama, antara yang perlu dititk beratkan ialah bagaimana mahu memastikan kucing tidak terkejut dan tertekan dengan persekitaran baharu apabila dibawa pulang beraya di kampung.

"Seperti yang saya cakap, kucing lebih attach dengan tempat dan persekitaran, bukan manusia. Kucing lebih suka  tempat yang dia sudah biasa, tidak kisah pemiliknya ada atau tidak.

"Kurung dalam tempat yang selesa seperti dalam bilik sepatutnya tidak ada masalah cuma perlu hati-hati kerana kucing mungkin akan ketakutan dan lari keluar. Mungkin juga boleh disediakan sebuah cage yang besar di kampung, letakkan mainan, katil atau tilam buat dia rasa selesa," katanya lagi.

Tambahnya, ada sesetengah kucing tidak kisah dan boleh menyesuaikan diri, namun pemilik masih perlu memastikan kucing tidak berkeliaran di luar kerana dibimbangi ia sesat dan sukar mencari jalan pulang.