ARAB SAUDI tidak lama lagi akan memiliki sebuah bandar terapung bernilai AS$8 bilion (RM36 bilion) yang dinamakan 'Pangeos'.

Dengan reka bentuk seperti penyu, bandar terapung itu mampu menampung 60,000 tetamu, malah akan turut mempunyai landasan kapal terbang serta pad helikopter, kata kenyataan yang dikeluarkan studio rekaan Itali, Lazzarini.

Pangeos merupakan nama yang diambil daripada Pangea, iaitu sebuah benua besar yang pernah wujud dari 200 hingga 335 juta tahun dahulu.

Apabila ia siap, struktur itu akan menjadi struktur terapung terbesar di dunia.

Walaupun bahagian dalaman Pangeos masih belum didedahkan, Lazzarini menjangkakan AS$8 bilion akan dilaburkan dalam pembinaan, dengan garis masa lapan tahun.


Berkonsepkan 'terayacht', ia akan menggunakan tenaga solar dan menempatkan hotel, pusat beli-belah dan taman.

Dengan kuasa transmisi pacuan jet, struktur tera akan dapat melayari pada kelajuan lima knot.

Ia dikuasakan oleh sembilan enjin superkonduktor bersuhu tinggi; setiap motor elektrik sepenuhnya berkeupayaan 16,800hp dan dikuasakan oleh pelbagai sumber tenaga dalaman.

Dari segi penginapan pula, tetamu boleh memilih untuk tinggal di pangsapuri, villa dan istana diraja.