Menjelang bermulanya lembaran kalendar 2016, pasti ramai yang memasang azam tahun baru.

Salah satu kepentingan menetapkan azam tahun baru ialah untuk mengenal pasti matlamat perjuangan hidup pada tahun yang mendatang agar hidup jadi lebih bermakna.

Hisyamudin Fadzil, seorang anak muda yang memulakan kerjaya sebagai penulis blog sejak beberapa tahun lalu menganggap azam tahun baru perlu lebih besar daripada kepentingan diri.

“Bagi saya, azam tahun baru memang penting. Alhamdulillah, azam saya untuk jana pendapatan stabil melalui blog untuk tahun 2015 ni saya berjaya capai.

“Selain untuk tambah pendapatan, saya juga bersyukur kerana berjumpa dengan ramai kenalan baharu yang membolehkan saya menyebarkan rangkaian atas talian saya untuk terus maju,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Bercita-cita untuk memiliki aset hartanah, bapa kepada seorang anak ini meletakkan sasaran yang lebih besar untuk tahun baru 2016.

Dia yang selama ini hanya menjadikan blog sebagai platform untuk menambah pendapatan mula meluaskan kerjayanya dengan menjadi usahawan atas talian sejak awal tahun 2015.

Jemaah Bisnes Denaihati yang diusahakan bersama beberapa rakan kongsi melonjakkan potensi sedia ada yang ada pada dirinya.

Justeru itu, penulis yang popular dengan Kelab Kaki Makan sebelum ini banyak merantau ke seluruh Nusantara untuk meluaskan rangkaian perniagaan.

“Azam 2016 saya jauh lebih besar daripada kepentingan diri dan keluarga. Saya mahu luaskan rangkaian bisnes ke seluruh Nusantara melalui kumpulan Jemaah Bisnes Denaihati yang saya usahakan bersama rakan kongsi awal tahun lalu.

“Saya juga bersama rakan Jemaah turut akan membantu beberapa madrasah di seluruh Nusantara terutamanya di Malaysia dan Indonesia untuk membolehkan mereka berdikari menjana pendapatan.

“Keadaan ini penting memandangkan kebanyakan madrasah tahfiz terutamanya banyak memerlukan pihak penyumbang untuk kelangsungan operasi mereka,” tambahnya.

Bercakap tentang harapan tahun baru, Hisyamudin berharap biarpun berlaku cabaran serta tekanan kos sara hidup, dia akan mengubah strategi bagi memastikan azam tahun barunya tercapai.

Dia sedar, kos sara hidup yang tinggi menyebabkan usahawan sepertinya perlu bekerja lebih keras untuk memajukan diri.

Jadi, usaha berterusan untuk menambah ilmu serta pengalaman amat penting dalam menjayakan matlamat yang disusun untuk tahun baru.

“Apa yang penting, terus bersikap positif dan redah cabaran yang kita hadapi,” katanya.