Benarkah Nur Sajat benar-benar wanita?

Astro Awani
Februari 17, 2017 09:46 MYT
Netizen meragui 'surat pengakuan' daripada doktor yang dimuat naik Nur Sajat (gambar) melalui Instagramnya pada semalam. - Foto Instagram / @nursajat02
TERSEBAR di media sosial ketika ini mengenai pengesahan individu yang dilahirkan dengan dua jantina Nur Sajat, kini seorang wanita.
Menerusi laman Instagramnya, Nur Sajat memuat naik satu foto yang menunjukkan satu surat rasmi yang tertulis daripada Hospital KPJ Ampang Puteri, yang memberi 'pengesahan' jantina individu bernama 'Sajjad'.
Dalam surat tersebut, ia tertulis: "Saya telah melakukan pemeriksaan kepada individu bernama di atas, di Hospital Pakar Ampang Puteri yang kini berjantina wanita."
Pemilik syarikat kosmetik dan kecantikan itu turut dikenali jenaka dan gaya hidupnya yang digemari pengikut Instagramnya.
Sehingga hari ini dia mempunyai pengikut seramai lebih 412,00 pengikut.
Bagaimana pun, Astro AWANI cuba menjejaki doktor yang dikatakan memberi pengesahan jantina Nur Sajat di Instagram iaitu Dr Katheeja Alavi Syed Alavi Thangal.
Keraguan itu timbul, apabila ada beberapa pengikutnya mempertikaikan pengesahan surat rasmi itu.
Astro AWANI menghubungi nombor yang tertera di surat tersebut untuk mendapat pengesahan, dan dimaklumkan oleh salah seorang kakitangan hospital berkenaan, Dr Katheeja sudah tiga tahun bersara dari hospital tersebut.
Semakan di laman LinkedIn tersebut juga mendapati Dr Katheeja sudah berhenti daripada hospital pakar itu pada tahun 2014.
Nur Sajat sebelum ini menjadi popular dalam kalangan netizen satu ketika dahulu apabila beliau mengambil keputusan untuk memakai tudung setelah mengalami kemalangan jalan raya.
BACA: Nur Sajat dedah beliau sebenarnya dilahirkan khunsa
Dia juga mengejutkan netizen pada tahun lalu apabila mendedahkan dirinya dilahirkan sebagai seorang khunsa.
Difahamkan, Nur Sajat dibesarkan dengan cara seorang lelaki, tetapi malangnya dia lebih gemar melakukan kerja-kerja seorang perempuan.
Nur Sajat menjelaskan situasi menjadi buruk apabila beliau mula takut untuk pergi ke sekolah dan rasa malu untuk masuk ke tandas kerana tidak mahu orang lain tahu akan dirinya itu.
#Nur Sajat