KATAK yang sejak kecil kita kenali dalam kehidupan seharian dan dalam buku teks pendidikan merupakan spesies yang sangat istimewa untuk ekosistem keseluruhannya.

Sejak kecil, fasa berudunya sangat membantu dalam kawalan pembiakan alga dan juga larva serangga perosak.

Kemampuannya untuk membiak dengan pantas juga sangat menyokong kitaran makanan, kerana ia menjadi sumber makanan bagi haiwan lain seperti burung, ikan dan ular.

Dalam kebiasaan manusia menemui amfibia ini di halaman rumah atau di habitat berair yang dekat dengan zon pembangunan manusia, ada banyak spesiesnya yang memiliki saiz yang luar biasa.

Dipetik dari laman web A-Z-Animals.com, berikut adalah antara spesies katak terbesar dunia:

Katak Goliath mampu menelan burung, ikan dan ular serta mamalia kecil! - animals.sandiegozoo.org

Katak Goliath

Diambil namanya sempena nama watak manusia gergasi dalam kisah peperangan dahulukala, katak Goliath merupakan katak terbesar di dunia!

Ia menjuarai senarai kerana ukuran dari belakang badan ke muncungnya mencapai ukuran 32 sentimeter (cm) dan mampu menjadi seberat 3.3 kilogram (kg).

Berasal dari kawasan hutan hujan Cameroon dan Equatorial Guinea, katak jantannya berupaya mengalihkan bongkah batu untuk membuat sarang besar sehingga selebar 3 kaki.

Semua itu bagi membolehkan katak betina memasukinya untuk bertelur.

Warna katak gergasi ini biasanya hijau kekuningan atau jingga kekuningan.

Bercakap soal makanan bagi amfibia sebesar ini, jangan pula terkejut dengan dietnya. Inilah mungkin antara sedikit amfibia pemakan daging yang bersifat pemangsa. Katak Goliath bukan sahaja cekap menangkap dan memakan ikan, malah ia boleh menelan burung, ular, dan mamalia kecil seperti tikus!

‘Keangkuhan’ itu menjadikan spesies amfibia lain seperti newt dan salamander menjauhkan diri kerana turut menjadi diet kegemaran si katak besar ini.

Hari ini, katak Goliath diburu bukan sahaja sebagai makanan oleh puak pribumi, malah dicari untuk diperdagang sebagai haiwan peliharaan. Pada masa yang sama, habitatnya juga terjejas teruk akibat penerokaan hutan.

Itu sekali gus menjadikan statusnya secara rasmi diisytihar sebagai spesies terancam.


Katak Gergasi Chile memiliki kulit menggerutu, namun ia tidak berada dalam kategori kodok. - Wikipedia

Katak Gergasi Chile

Katak spesies ini bukan kodok walaupun mempunyai ciri kulit menggerutu. Ia sering dimasukkan dalam kategori itu walau sebenarnya ia adalah katak.

Berasal dari kumpulan keluarga Calyptocephalellidae, katak betinanya adalah lebih besar dari katak jantan serta boleh mencapai ukuran panjang 32cm dan seberat 3kg.

Secara perbandingan, katak jantan hanya boleh membesar sehingga 15cm.

Nak tahu dalam fasa berudu pula sebesar mana? Berudu spesies ini adalah sepanjang 10cm.

Namanya sudah jelas menunjukkan asal negaranya, dan selalunya dijumpai di kawasan tanah rendah atau lembah yang mempunyai kolam dalam.

Warnanya berbeza-beza antara kuning, hijau dan perang selain mempunyai kepada yang besar dan bulat.

Saiznya yang besar membuatkan spesies ini diburu untuk dimakan, atau diternak untuk bekalan dagingnya.

Walaupun kini dilarang untuk memburunya terutama dalam habitat liar, masih terdapat banyak permintaan terhadapnya di pasaran gelap.

Populasi spesies ini semakin berkurangan dan statusnya kini dikelaskan sebagai dalam ancaman.


Katak kerbau Afrika 'digeruni' kerana upaya memburunya yang hebat. - Wikipedia

Katak Kerbau Afrika

African bullfrog boleh membesar sehingga 25cm.

Ia sangat popular dalam kalangan penggemar haiwan eksotik kerana, salin saiznya, ia mempunyai warna hijau zaitun serta memiliki bahagian bawah badan yang berwarna kuning atau jingga.

Sering ditemui di kawasan gurun atau lembangan Afrika, katak bull ini tidak ada masalah untuk kekal lama di daratan yang kering.

Apabila keadaan terlalu panas buatnya, katak ini akan mengorek lubang di dalam tanah untuk melindungi dirinya.

Spesies ini adalah pemburu yang hebat dan selalunya menggunakan teknik menghendap sebelum menyergah, seterusnya menelan terus mangsanya.


Katak Tasik Jinin ini di bawah ancaman serius akibat aktiviti pemburuan dan pencemaran di tasik yang ia diami. - Wikipedia

Katak Tasik Junin

Seperti namanya, katak jenis ini boleh membesar sehingga 30cm panjang dan sering ditemui di Tasik Junin di Peru.

Selain di tasik itu, katak itu juga menjadikan Sungai Mantaro sebagai habitatnya.

Dengan berat yang boleh mencapai 2kg, katak-katak Tasik Junin jarang meninggalkan kawasan berair dan ia lebih memilih untuk hidup, makan dan membiak di dalamnya.

Katak tersebut berwarna perang gelap dan memiliki kulit yang licin, dan kerana itu ia adakalanya dipanggil ‘katak licin Andes’.

Bagaimanapun, katak akuatik ini di bawah ancaman serius akibat aktiviti pemburuan dan pencemaran di tasik yang ia diami.

Statusnya kini secara rasmi diisytihar terancam.


  Katak sungai Asia ini menjadi buruan kerana kecantikan dan juga isi dagingnya. - Wikipedia

Katak Sungai Asia

Tidak lengkap senarai ini kalau tiada penyertaan dari benua Asia. Tentunya katak sungai Blyth’s menjadi wakilnya!

Turut dikenali sebagai katak sungai gergasi Asia, katak betina spesies ini boleh mencapai ukuram sehingga 26cm dan seberat sekitar 1kg.

Ia lazimnya berwarna perang, kuning atau kelabu dan sering ditemui di kawasan sungai berbatu di kawasan hutan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Walaupun memegang gelaran ‘terbesar’, agak ‘malang’ sekali baginya kerana ada banyak komuniti di Asia gemar memburunya untuk dijadikan sebagai sumber makanan popular.

Selain daripada diancam manusia yang sangat berselera dengan isi dagingnya itu, katak berkenaan juga berdepan masalah gangguan habuitat akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan untuk pembangunan.

Habitat yang semakin menyusut membuatkan katak sungai juara Asia ini kini diklasifikasi sebagai spesies yang hampir terancam.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !