KUALA LUMPUR: Kebelakangan ini, banyak kes melibatkan telefon pintar meletup dilaporkan sehingga ada yang meragut nyawa orang sekeliling.

Terbaharu seorang bayi dilaporkan maut di Bareilly, India selepas dipercayai telefon pintar yang sedang dicas bersebelahannya meletup. Bayi itu disahkan meninggal dunia di hospital ketika dirawat.

Insiden serupa turut berlaku awal tahun ini selepas telefon pintar seorang penumpang dalam pesawat IndiGo dikatakan tiba-tiba terbakar menyebabkan kesemua penumpang panik.

Sebagai pengguna telefon pintar, ambil tahu cara bagaimana untuk mengelakkan dari insiden ini berlaku;

1) Bateri ‘mengembung’

Insiden berlaku di Bareilly yang menyebabkan seorang bayi maut dilaporkan selepas bateri telefon pintar mula menunjukkan perubahan. Bateri mula mengembung ketika dicas.

Jangan biarkan insiden ini berulang, sentiasa periksa keadaan bateri telefon anda. Jika skrin mula mengembung atau bengkak, letakkan telefon pintar jauh dari orang sekeliling. Sentiasa peka dengan perubahan pada telefon pintar.

2) Telefon rosak

Jangan sesekali menggunakan telefon yang rosak/tidak berfungsi. Skrin atau bingkai telefon yang retak berkemungkinan boleh mengalirkan cecair meresap masuk ke dalam peranti sekali gus merosakkan komponen dalaman seterusnya menyebabkan litar pintas.

3) Pengecas telefon tiruan

Hati-hati dengan pengecas tiruan. Mirror UK  melaporkan kes pada 2019 yang mana seorang lelaki di Chonburi, Thailand maut akibat kejutan elektrik ketika sedang mengecas telefon bimbit. Mangsa dipercayai menggunakan kabel tiruan yang disambungkan ke plug tambahan. Jangan sebab nak jimat, nyawa pula melayang.

4) Terlebih cas

Sebaik-baiknya cas telefon bimbit secukupnya dan tutup suis apabila selesai mengecas telefon. Ada kemungkinan pengecasan semalaman boleh menjejaskan bateri telefon anda.

5) Letak telefon di tempat panas terlalu lama

Bateri telefon pintar direka khas untuk bekerja pada suhu tertentu. Mendedahkan telefon pintar secara kerap kepada suhu panas boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang pada bateri. Jauhkan telefon pintar dari terkena cahaya matahari secara langsung. - Agensi