KUALA LUMPUR: “Menghasilkan sesuatu rekaan busana itu tidak susah sebenarnya, tapi untuk masyarakat terima rekaan itu yang menjadi cabaran bagi setiap pereka fesyen.”

Itu pengakuan Kel Wen mengenai cabaran baginya untuk menjadi pereka fesyen tempatan iaitu setiap kali berhasrat untuk mengeluarkan koleksi pakaian menerusi jenama Behati.

Jenama itu semakin menjadi perhatian ramai selepas pemuda berusia 26 tahun ini mengeluarkan koleksi Aidilfitri sekitar tahun 2018 dan mendapat kritikan daripada ramai pihak.

Namun, kritikan dan penolakan tersebut sama sekali tidak mematahkan semangat anak jati Melaka ini untuk terus bersinar dalam industri fesyen tanah air.

Baginya, sebagai rakyat Malaysia yang membesar dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan budaya telah memberinya ilham setiap kali ingin mengeluarkan koleksi yang bertemakan Malaysia.

BACA: Tiada lagi angan-angan, impian Kel Wen reka busana Siti Nurhaliza terlaksana

“Ya, saya berbangsa Cina, tapi saya juga pakai Baju Melayu, malah saya ada rakan-rakan yang berlainan bangsa. Itu yang membuatkan saya lagi tertarik untuk saya belajar dan keluarkan koleksi-koleksi sebegini.

“Setiap koleksi yang saya hasilkan, selalunya saya tidak ubah apa-apa melainkan menjadikannya bersaiz lebih besar kerana saya percaya ia mampu menarik perhatian anak muda pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagi Kel Wen, jika kita boleh menerima makanan daripada budaya lain pendekatan yang sama turut boleh dilakukan terhadap pakaian.

Katanya, setiap pakaian tradisi di Malaysia seharusnya diraikan tanpa menghalang mana-mana pihak untuk menghasilkan idea baharu apatah lagi memakainya walaupun mereka daripada kaum yang berbeza.

Pada masa sama, Kel Wen turut berkongsi akan mengeluarkan koleksi pakaian terbaharu yang bertemakan ’Kampung’ tidak lama lagi.