COVID-19: Wanita dalam bidang teknologi percaya 'lockdown' halang perkembangan kerjaya - Tinjauan

Isabelle Leong
Januari 22, 2021 10:20 MYT
Sebanyak 46 peratus wanita daripada bidang teknologi di Asia Tenggara (berbanding 39 peratus lelaki) percaya persekitaran kerja yang saksama adalah terbaik untuk perkembangan kerjaya. - Foto Kaspersky
KUALA LUMPUR: Hampir separuh wanita di Asia Tenggara yang bekerja dalam bidang teknologi percaya bahawa kesan akibat pandemik COVID-19 telah melambatkan perkembangan kerjaya mereka.
Ia biarpun terdapat 64 peratus wanita yang percaya kesaksamaan jantina dapat dicapai menerusi kaedah kerja jarak jauh.
Menurut kajian syarikat keselamatan siber dunia, Kaspersky, hampir satu pertiga wanita (25 peratus) dari Asia Tenggara yang bekerja dalam industri teknologi lebih suka bekerja di rumah berbanding di pejabat.
Beberapa laporan yang serupa juga mendapati kaum hawa bekerja dengan lebih cekap apabila bekerja dari rumah.
Sebanyak 28 peratus mendedahkan bahawa mereka mempunyai lebih autonomi apabila tidak bekerja di sebuah pejabat.
Bagaimanapun, kajian Kaspersky mendedahkan bahawa struktur kerja jarak jauh bagi wanita tidak begitu sesuai dengan perkembangan sosial dalam dinamika kaedah bekerja dari rumah.
Ia kerana 46 peratus daripada mereka yang bekerja dari rumah berdepan kesukaran untuk mengimbangi antara pekerjaan dan keluarga mereka sejak Mac 2020.
BACA: Bekerja dari rumah: Sukar untuk asingkan kerja dengan aktiviti peribadi
Trend tersebut dilihat menonjol di Amerika Utara tetapi merupakan satu trend yang konsisten di seluruh dunia.
Mengapa wanita percaya COVID-19 melambatkan perkembangan kerjaya mereka?
Apabila responden wanita ditanya tentang peristiwa yang mempengaruhi produktiviti mereka, 66 peratus berkata mereka meluangkan masa untuk membersihkan rumah, 68 peratus menguruskan pembelajaran kanak-kanak di rumah dan 56 peratus berkata mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan waktu kerja supaya dapat menjaga keluarga mereka.
BACA: Wanita lebih terkesan akibat COVID-19: Ini fokus kajian impak pandemik Ipsos
Oleh itu, 48 peratus daripada mereka percaya bahawa kesan daripada wabak COVID-19 itu telah melambatkan dan bukannya mempercepatkan perkembangan kerjaya mereka secara keseluruhan.
Syarikat teknologi perlu beri fleksibiliti kepada pekerja yang merupakan ibu bapa
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Ada’s List, Merici Vinton berkata syarikat dalam sektor teknologi perlu memberikan isyarat bahawa mereka akan memberikan kelonggaran dan fleksibiliti pekerja mereka yang merupakan ibu bapa sepanjang pandemik ini dan pada masa depan.
“Syarikat perlu memahami bahawa perwakilan merupakan sesuatu yang penting.
“Dengan menampilkan wanita dalam kepimpinan, pasukan yang majoritinya dianggotai wanita dan wanita dalam wawancara menunjukkan bahawa terdapat ruang untuk wanita dalam syarikat mereka.
“Akhirnya, kami melihat banyak syarikat berjaya yang bekerjasama dengan organisasi wanita luaran yang boleh mencabar anda, mendorong anda selain memberikan insipirasi kepada pekerja anda,” katanya.
Kajian tersebut dilakukan terhadap 13,000 responden di 19 negara, termasuk Malaysia, dan diterbitkan dalam laporan yang berjudul 'Where are we now? Understanding the evolution of women in technology'.
#COVID-19 #wanita #bidang teknologi #lockdown #Kaspersky #perkembangan kerjaya