AGAK lama tak nampak lakonan pelakon Bollywood, Preity Zinta di kaca televisyen.

Jika sebelum ini jelitawan tersebut berada di negara suami tercinta di Amerika Syarikat, kepulangan Preity ke kampung halaman khususnya ketika pandemik COVID-19 melanda dunia nyata mengubah gaya hidupnya.

Dalam diam, aktres berkenaan kini aktif mengusahakan pelbagai jenis tanaman dan bergelar petani.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, selain mengimbas kembali kenangan sewaktu kecil Preity juga berkongsi kunjungannya di ladang keluarga di Shimla, Himachal Pradesh di India bersama peminat setia.

Salah satunya ialah tanaman pokok epal yang sedang berbuah lebat. Katanya, dia sangat gembira melihat pokok-pokok berkenaan setelah sekian lama tidak mengunjungi kebun berkenaan.

“Sebaik saja hujan berhenti, saya keluar dan rakam video ini. Kembali ke kampung halaman dan ladang milik keluarga ketika musim buah epal sememangnya menggamit kenangan dan emosi.

"Kebanyakan zaman kanak-kanak saya diluangkan di ladang milik datuk dan nenek, Rajinder Mamaji dan Uma Mamiji.

"Dua tahun lepas, saya secara rasminya menjadi petani dan sangat bangga dapat menjadi sebahagian komuniti petani buah epal di Himachal Pradesh.

"Saya juga kagum melihat keadaan ladang di sini yang dijaga dengan baik walau berdepan situasi Covid dan kekurangan tenaga pekerja.

Malah, saya bangga dengan kejayaan abang yang berjaya mengusahakan tanaman organik di sini di samping menanam pokok epal.”

Tambahnya lagi, sepanjang waktu lockdown dia dan ibu tersayang ligat menanam pelbagai tanaman di halaman rumah.

“Saya sangat teruja apabila tanaman buah-buahan dan sayuran kami tumbuh sihat di halaman belakang rumah.

"Ibu dan saya memanfaatkan masa lockdown sejak tahun lalu dan menanam pelbagai jenis daun herba, buah dan sayur.

"Sekarang, kami dah ada buah strawberi, oren, pic, jambu batu, cili merah dan cili hijau, terung, daun pudina, basil dan buah lemon di rumah.”

Preity Zinta berkahwin dengan suaminya, Gene Goodenough yang berasal dari Amerika Syarikat pada tahun 2016.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !