WANITA yang mengalami diskriminasi kaum atas dasar etnik, bangsa atau kewarganegaraan berisiko tinggi untuk melahirkan bayi pramatang, menurut pasukan yang diketuai oleh penyelidik di Universiti Cambridge.

Penemuan itu mengukuhkan bukti bahawa diskriminasi kaum adalah faktor risiko kesan kesihatan yang buruk, kata para penyelidik.

Selama beberapa dekad, kaum dilihat menjadi penentu tahap sosial, kesihatan dan faktor risiko bagi pelbagai penyakit. Bukti menunjukkan bahawa faktor sosial, alam sekitar, ekonomi dan politik adalah pemacu asas ketidaksamaan kesihatan, dan diskriminasi kaum atau perkauman, antara salah satu puncanya.

Sebagai contoh, kadar kematian ibu dalam kalangan wanita kulit hitam dan Orang Asli di Amerika Syarikat adalah dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada wanita kulit putih. Begitu juga, di UK, kadar kematian ibu adalah dua hingga empat kali lebih tinggi dalam kalangan wanita kulit hitam dan Asia berbanding wanita kulit putih.

Untuk meneroka corak diskriminasi kaum yang sedia ada dan kesan buruk kepada kehamilan, para penyelidik menjalankan kajian sistematik dan meta-analisis, mengumpul dan menganalisis data daripada bukti yang ada.

Pendekatan ini membolehkan mereka menyatukan kajian sedia ada untuk memberikan kesimpulan yang lebih kukuh. Hasilnya diterbitkan dalam jurnal akses terbuka BMJ Global Health.

Pasukan itu menggunakan lapan pangkalan data elektronik, berkenaan kajian yang berkaitan tentang diskriminasi kaum yang dilaporkan sendiri dan kelahiran pramatang (iaitu sebelum minggu 37), kurang berat semasa lahir, saiz yang tidak sesuai dengan umur, dan tekanan darah tinggi yang berkaitan dengan kehamilan.

Secara keseluruhan, keputusan 24 kajian telah dimasukkan dalam analisis akhir. Majoriti kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat. Peserta kajian terdiri daripada latar belakang kaum dan etnik yang berbeza, termasuk kulit hitam atau Afrika Amerika, Hispanik, kulit putih bukan Hispanik, Mãori, Pasifik, Asia, Orang Asli Australia, Roman, orang asli Jerman dan Turki.

Analisis terkumpul menunjukkan bahawa pengalaman diskriminasi kaum secara signifikan dikaitkan dengan peningkatan risiko kelahiran pramatang. Wanita yang mengalami diskriminasi kaum adalah 40 peratus lebih berkemungkinan melahirkan bayi pramatang.

"Walaupun kajian kami memberi tumpuan kepada kesan terhadap hasil kehamilan, namun jelas bahawa ia turut memberi kesan negatif kepada pelbagai aspek kesihatan.

"Tumpuan harus diberi kepada perubahan dasar sistemik bagi mewujudkan perubahan yang mampan," kata pengarang bersama kajian berkenaan, Jeenan Kaiser.

“Merungkai struktur dan dasar yang menjadi asas perbezaan kaum dan etnik dalam kesihatan dan menyilangkan ketidaksamaan sosial adalah penting, untuk meningkatkan tahap kesihatan keseluruhan dalam masyarakat.

"Perkongsian profesional penjagaan kesihatan berpusatkan komuniti boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan dalam kalangan wanita," kata seorang lagi pengarang bersama, Kim van Daalen.