Gempa bumi berukuran 6 skala Richter yang berpusat di Ranau, Sabah pada Jumaat telah mengorbankan 13 orang sehingga kini.

Gegaran paling kuat yang pernah berlaku di Malaysia dalam tempoh 39 tahun ini sememangnya mengejutkan rakyat Malaysia. Laman sosial tidak kurang hebatnya apabila ramai yang membicarakan perihal tragedi ini.

Ketika pihak berkuasa, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi-agensi lain mendapat liputan meluas mengenai operasi pencari dan menyelamat, hampir dilupakan individu-individu yang menghulurkan bantuan di belakang tabir.

Mereka ini mendapat gelaran ‘pahlawan tidak didendang’ lantaran usaha mereka membantu mangsa-mangsa yang terkandas di kawasan yang teruk dilanda gempa.


Robbi Sapinggi

Malim gunung berusia 31 tahun ini akan sentiasa diingati oleh para pendaki yang pernah mendapatkan khidmatnya. Robbi Sapinggi cukup dikenali dengan sifat murah hati, suka berjenaka dan fasih bertutur Bahasa Inggeris.

robbi
Gambar fail

Ketika berlakunya gempa bumi pada awal pagi Jumaat lalu, Robbi dalam perjalanan turun dari Gunung Kinabalu sambil mengiringi kumpulan pendaki yang menggunakan khidmatnya.

Robbi yang berasal dari Kampung Kiau meninggal dunia kerana terkena runtuhan batu. Beliau memastikan kesemua pendaki yang dibantunya dalam keadaan selamat sebelum menghembuskan nafas terakhir beberapa minit selepas pasukan penyelamat tiba.

Jomius

Seorang pendaki warga Australia berkongsi detik mendebarkan tatkala berlakunya gempa bumi dan dia berada di puncak gunung Kinabalu.

MGJ
Gambar – Koleksi peribadi Vee Jin Dumlao

Memetik laporan ABC news, Vee Jin Dumlao dan rakannya terpaksa menunggu pasukan penyelamat yang tidak kunjung tiba selama beberapa jam sebelum malim gunung yang bernama Jomius membuat keputusan untuk menuju ke kawasan selamat.

Menurut Vee Jin, Jomius membuat peralatan abseiling menggunakan sumber disekelilingnya selain membantu para trekkers menuruni kawasan Laban Rata yang lebih selamat.

Richard Soibi

Malim berusia 49 tahun ini antara 32 jurupandu gunung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pendaki di Gunung Kinabalu.

Menurut laporan dari Malaysian Insider, Richard Soibi yang juga Pengerusi Malim Gunung Taman Kinabalu memiliki pengalaman lebih 20 tahun dan sedang membawa 103 orang pendaki semasa gempa bumi berlaku.

Kumpulannya adalah antara yang pertama berjaya membawa turun pendaki dari puncak sebelum misi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa keselamatan.

Firdaus Abdul Salam

Firdaus Abdul Salam sudah menjadi malim gunung selama 18 tahun. Meskipun terkejut dengan tragedi yang menimpa salah satu puncak tertinggi di Asia Tenggara itu, Firdaus menggagahkan diri untuk menghulurkan bantuan dalam misi mencari dan menyelamat.

Malim gunung makanan
Gambar - Twitter mayra911219

Waima dibelenggu kebimbangan soal keselamatan enam pendaki yang masih hilang, Firdaus dan beberapa temannya yang juga penunjuk arah pergunungan giat membantu mengalihkan mangsa dan mayat serta membantu mengagihkan makanan.

Utamakan keselamatan pendaki

Gambar malim gunung yang dikenali sebagai Ridwan dimuat naik oleh Datuk Seri Masidi Manjun dan akhbar tempatan. Dalam tempoh tiga jam sahaja, gambar tersebut mendapat lebih 9 ribu likes. Ridwan dilihat membantu membawa pengusung mangsa yang tercedera.

MG
Gambar – Twitter Tentera Darat

Freddie Akau pula merupakan malim gunung veteran yang bertanggungjawab membimbing satu pasangan dari Korea pada Jumaat lalu.

Beberapa posting di laman Facebook menyifatkan para malim gunung yang menjadi tunjang para penyelamat lantaran mereka mengetahui selok belok kawasan Laban Rata.