KUALA LUMPUR: Tarikh 3 Disember setiap tahun dipilih sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini.

Pengisytiharannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharapkan dapat menggalakkan masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memakai pakaian bercorak batik Malaysia.

Ia juga bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia, iaitu rakyat berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan batik tempatan.

Astro AWANI tidak ketinggalan meraikan Hari Batik Malaysia hari ini.

.Penyampai Astro AWANI, Nickyson Nyambar.

Selain menggalakkan petugas di belakang tabir mengenakan pakaian bercorak batik, penyampai yang tampil di kaca televisyen sepanjang hari ini juga segak menggayakan batik pilihan masing-masing.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kapten Batik, Mohd Zul Fadli Mohamad Muhsin, berkata batik kini tidak lagi dianggap ketinggalan zaman sebaliknya diterima baik semua golongan dan peringkat.

"Sekarang sudah ada kesedaran khususnya dalam kalangan belia dengan usaha sama kerajaan dan swasta dalam mengaplikasikan batik dalam penggunaan harian.

"Langkah yang diambil kerajaan membantu memperluaskan penggunaan batik dan dalam masa yang sama, meningkatkan pendapatan pengusaha batik dan kraf tempatan.

"Batik Malaysia ada nilai unik dan tersendiri. Jika dilihat dari sudut warna dan motif, kita banyak menggunakan tema flora, kita boleh letak keunikan batik Malaysia untuk bersaing dengan kraf tekstil lain.

"Lebih mengujakan, sekarang batik dipromosikan sebagai pemakaian harian, dan tidak terhad untuk sesuatu yang eksklusif, majlis atau aktiviti tertentu sahaja.

"Malah sekarang ini kita nampak belia juga semakin banyak berminat mengenakan corak batik," kata 

Kapten Batik bermula pada Mac 2017 dengan matlamat utama untuk mempertahankan warisan batik dan menjadikannya pakaian praktikal dengan cetakan batik yang segar, diilhamkan dari pengembaraan dan seni bina.

Selain Kapten Batik, penyampai Astro AWANI turut mendapat tajaan daripada Kakee Batik, sebuah jenama yang memfokuskan pada batik lukisan tangan.

Penyampai Astro AWANI, Fauzi Zin.

Untuk rekod, penyampai Astro AWANI mengenakan pakaian bermotif batik pada setiap hujung minggu, sejak beberapa tahun lalu.

Hari Batik Malaysia juga merupakan satu bentuk penghargaan atas sumbangan, sokongan dan minat dalam kraf batik ditonjolkan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Badawi.

Tarikh 3 Disember dipilih kerana pada tanggal itulah Allahyarham memulakan gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa.