SRBAC: Mungkin tidak sehebat Taj Mahal di India, namun sebuah rumah keluarga di pekan kecil di utara Bosnia telah dibina atas nama cinta.

Rumah di Srbac itu direka dan dibina oleh Vojin Kusic, 72 tahun. Dengan bahagian facade berwarna hijau kekuningan dan bumbung keluli merah, ia boleh berputar dalam pusingan penuh.

Semua mekanisme itu difikirkan oleh Vojin, semata-mata untuk memuaskan hati isterinya, Ljubica, yang sering bersemangat untuk melihat pemandangan berbeza dari jendelanya.

“Selepas saya mencapai usia sebegini dan selepas anak-anak mengambil alih perbiagaan keluarga, saya akhirnya mempunyai cukup masa untuk merealisasikan impian isteri saya.

“Dia menginginkan kelebihan menukar kedudukan bilik pada bila-bila masa yang dimahukan,” ujar Vojin kepada AP.

Semua yang dilakukan ini demi memuaskan hati isteri... - AP

Sebelum ini, ketika mereka berkahwin, Vojin pernah membangunkan sebuah rumah untuk mereka menjalani hidup bersama tiga anak mereka. Ketika itu, isterinya mahu bilik tidur mereka menghadap terbit matahari. Namun, itu bermakna, ruang tamu mereka menghadap sudut yang menjauhi jalan.

Selepas beberapa ketika, isterinya mengadu bahawa dia tidak dapat melihat orang yang datang dari halaman depan rumah, dan Vojin terpaksa membina semula model rumah mereka.

“Saya terpaksa robohkan dinding antara dua bilik tidur dan menjadikannya ruang tamu, serta mengubah semua pemasangan elektrikal. Ia sangat rumit, dan menghabiskan tenaga, namun itu yang dia (isteri) mahukan,” ujar Vojin.

Kemudian, enam tahun lalu, satu-satunya anak mereka yang masih tinggal membuat keputusan untuk terus menetap bersama mereka, meskipun selepas berkahwin. Vojin dan isteri membenarkan anaknya itu tinggal di tingkat atas rumah, sementara mereka berpindah ke aras bawah.

“Sekali lagi, kali ini di aras bawah, saya perlu merobohkan lagi dinding. Namun, tiba satu masa, saya berfikir, sebelum isteri saya mempunyai keinginan lain, saya mengambil keputusan untuk membina sebuah rumah baharu, yang boleh berputar, supaya dia boleh mengubah kedudukannya mengikut kehendaknya,” terang Vojin.

Vojin, yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke kolej, telah mereka dan membangunkan rumah berputar itu dengan titik peluhnya sendiri, menggunakan motor elektrik dari sebuah kenderaan tentera lama.

“Sekarang ini, kedudukan pintu depan kami juga berputar, maka jika isteri saya mengesan ada tetamu yang tidak diundang, dia boleh memutarkan seluruh rumah,” dia berseloroh.

Di Bosnia, nama isterinya bermaksud ‘yang disayangi’.

Ljubica bagaimanapun enggan ditemu bual.