DALAM sebuah perkahwinan, seorang wanita yang bergelar isteri harus tahu hak mereka. Walaupun dalam rumah tangga, peranan suami lebih dari isteri, tetapi si isteri tak boleh menidakkan haknya sendiri.

Berkongsi mengenai hal ini, Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli menjelaskan bahaya jika isteri terlepas pandang TUJUH perkara ini tentang hak dirinya sendiri.

1. Tempat tinggal asing dan selesa

Seorang wanita yang dah bernikah, wajib untuk suami sediakan rumah berasingan daripada keluarganya atau keluarga lelaki itu sendiri.

Tak kisah jika rumah itu sewa ataupun beli, yang penting selesa dan bukan isteri itu yang bayar. Kalau suami yang tinggal di rumah isterinya, suami itu wajib bayar sejumlah wang yang dipersetujui kepada isterinya untuk rumah kelamin tersebut.

2. Belanja utiliti rumah

Bila sudah sediakan rumah, jangan lupa pula, bil elektrik dan bil air juga perlu suami tanggung. Ini benda asas di dalam rumah. Kalau tak ada elektrik dan air, apa guna rumah kalau macam itu.

Ini juga sebahagian daripada nafkah tempat tinggal yang isteri berhak dapat daripada seorang suami. Bukan menjadi kewajipan isteri untuk bayar utiliti. Melainkan, bil internet ke bil telefon rumah. ini bukan keperluan.

3. Makan dan minum

Seorang suami wajib sediakan barang-barang keperluan dapur khasnya.

Bahkan, dalam Islam, suami juga sebenarnya yang wajib sediakan makan dan minum. Maksudnya suami yang patut masak, bukannya isteri.

Kalau isteri yang buat, itu dikira sebagai Ihsan atau sedekah daripada isteri. Kalau suami itu tak pandai masak, boleh la isteri itu nak masakkan. Cuma, jangan ingat bila kahwin sahaja, lelaki buat isteri ini macam orang gaji. Masak, basuh baju, cuci rumah semua dia yang buat.

4. Pakaian itu bukan baju semata-mata

Banyak orang fikir, takkan setiap bulan nak beli baju pada isteri. Kalau ikutkan, pakaian sememangnya nafkah wajib setiap bulan, tapi bukan baju atau kain semata-mata.

Tuala wanita, peralatan mandi, peralatan solek, dan macam-macam lagi perkara yang berkaitan dengan keperluan wanita, adalah tanggungjawab wajib seorang suami.

Sesetengah orang dia hanya beli baju raya sahaja setahun sekali, tetapi pakaian bulanan langsung diabaikan.

5. Tak boleh dipukul

Haram seorang suami memukul isterinya walaupun niat suami itu untuk mengajar. Tidak ada perkara tersebut dalam Islam. Sekalipun isteri tersebut mungkin tidak hormati suami, tapi bukan cara mengajar isteri tersebut dengan tumbuk, tampar, tarik rambut, tendang dan macam-macam lagi.

Mendidik isteri dalam Islam dimulakan dengan nasihat secara baik, kemudian pisahkan tempat tidur dan kemudian memukul dengan pukulan yang tidak menyakitkan menggunakan hujung kain lembut sahaja. Jika berlaku pukulan, isteri tersebut boleh buat laporan polis atas keganasan rumahtangga.

6. Dilayan dengan cara baik

Suami wajib bercakap dengan percakapan yang baik. Perbuatan seperti memaki hamun, mencarut, bercakap kasar adalah satu bentuk layanan yang tidak baik.

Meskipun hendak bersama dengan isteri, ia tidak boleh datang dalam bentuk paksaan. Apatah lagi apabila isteri berada dalam keadaan haid atau suami nak meliwat isteri sendiri melalui dubur. Haram perbuatan yang melayani isteri seperti itu dalam Islam.

7. Giliran bermalam yang adil

Bagi wanita yang bermadu, hak mereka dalam perkahwinan adalah mendapat giliran bermalam yang adil. Seorang suami yang berpoligami, tidak boleh melebih-lebih isteri yang disukai dan mengenepikan hak isteri yang kurang disukai.

Walaupun mungkin ada isteri yang telah putus haid, tapi dia masih berhak untuk mendapat giliran bermalam. Bukan suami hanya balik waktu siang atau balik sekali sekala sahaja.

Ajarkan juga ilmu ini kepada kawan perempuan atau ahli keluarga anda yang tersayang kerana seorang wanita yang sedang berkahwin atau baru berkahwin perlu tahu hak dirinya sebagai isteri. Kerana kekuatan seorang wanita terletak kepada ilmunya.

Artikel asal ini diterbitkan di platform Pa & Ma