KUCHING: Nostalgia 95 tahun lalu kembali menjadi penghubung penduduk Sarawak khususnya di kawasan Satok dan Kubah Ria dengan terbinanya Jambatan Gantung Satok yang merentasi sungai Sarawak.

Ia bukan sahaja mengembalikan kenangan dan sentimen sejarah, namun bakal menjadi ikon baharu tarikan pelancongan di bandar raya Kuching.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jambatan tersebut mempunyai nilai sejarah tersendiri selepas ia dibina pada zaman pemerintahan Raja Putih Ketiga, Charles Vyner Brooke pada 1923.

“Dahulu selain menjadi medium penghubung untuk kegunaan rakyat menyeberangi sungai, ia turut digunakan untuk meletakkan paip bagi menyalurkan bekalan air ke Matang,” katanya pada majlis perasmian Jambatan Gantung Satok di Kubah Ria di sini pada Ahad.



Namun pada tahun 1992, jambatan itu terpaksa ditutup kepada laluan orang ramai atas faktor keselamatan sebelum ia runtuh susulan kabel penahannya putus.

Kata Abang Johari, infrastruktur itu akan terus menjadi tarikan baharu di bandar raya Kuching di samping transformasi kawasan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil sehingga Kampung Tupong Ulu.

Sementara itu, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata rancangan pembinaan jambatan itu telah dibuat pada 2017.

Dimensi struktur binaan baharu itu adalah 213 meter panjang dengan lebar tiga meter yang berketinggian 22 meter.

Foto Astro AWANI

Dibangunkan di tapak asal pada 18 September 2017, mengambil masa kira-kira empat tahun sebelum dibuka kepada awam pada Ogos lalu.

Jambatan tersebut turut dinaik taraf dengan penambahan lampu LED mengaplikasikan sentuhan moden kepada mercu tanda bersejarah negeri Sarawak itu.

Untuk rekod, pembinaan semula jambatan ikonik tersebut merupakan salah satu daripada 109 inisiatif kerajaan Sarawak.