NEW YORK: Sejak 50 tahun lalu, jumlah pengeluaran sperma manusia dilaporkan menurun lebih 50 peratus di seluruh dunia.

Memetik laporan CNN, angka merupakan tinjauan terkini jurnal perubatan yang mana data diperoleh dari 53 buah negara.

Sekiranya penemuan itu disahkan dan penurunan berterusan, ia boleh memberi implikasi penting kepada pembiakan manusia.

Penyelidik memberitahu, ia juga menjadi petanda penurunan kesihatan pada lelaki secara umum memandangkan kualiti air mani boleh menjadi penanda aras penting.

Namun begitu, kajian ini telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pakar kesuburan lelaki.

Ada yang mengatakan penemuan ini nyata namun terlalu cepat disimpulkan, tetapi ada juga mengatakan mereka tidak yakin dengan data kerana kaedah mengira sperma telah berubah banyak dari semasa ke  semasa sehingga tidak relevan membandingkan angka lama dan sekarang.

Dalam masa sama, hampir semua pakar bersetuju bahawa isu ini memerlukan lebih banyak kajian.

"Saya fikir salah satu fungsi asas mana-mana spesies adalah pembiakan. Oleh itu, saya fikir jika terdapat isyarat bahawa pembiakan menurun, ia adalah penemuan yang sangat penting.

"Terdapat hubungan kuat antara kesihatan reproduktif lelaki dan kesihatan secara keseluruhan. Maka, ia boleh dikaitkan bahawa mungkin kita tidak sihat seperti dahulu," katanya kata pakar urologi dengan Stanford Medicine Dr Michael Eisenberg yang tidak terlibat dalam kajian ini.

Sementara itu, pakar bedah dan penolong profesor Sekolah Perubatan Universiti Utah di Salt Lake City mengulas cara analisis air mani dilakukan telah berubah sejak beberapa dekad.

“Ia telah bertambah baik dan menjadi lebih standard tetapi tidak sempurna. Walaupun anda mengambil sampel air mani yang sama dan melakukan analisis air mani ke atasnya pada tahun 60-an dan 70-an berbanding hari ini, anda akan mendapat dua jawapan yang berbeza," katanya yang juga tidak terlibat dalam tinjauan itu.

Difahamkan, gaya hidup juga memainkan peranan penting. Obesiti, kekurangan aktiviti fizikal dan diet yang tinggi dalam makanan ultraproses mungkin menjadi punca penurunan jumlah sperma.

Secara keseluruhan, para penyelidik menentukan bahawa jumlah sperma jatuh lebih daripada 1% setahun antara tahun 1973 dan 2018. Kajian itu menunjukkan bahawa di peringkat global, purata jumlah sperma purata telah jatuh 52% pada tahun 2018.

Di peringkat penduduk dunia, purata jumlah sperma menurun daripada 104 juta kepada 49 juta setiap mililiter dari 1973 hingga 2019. Kiraan sperma biasa dianggap melebihi 40 juta setiap mililiter.