BILA bercakap soal jodoh, kadangkala kita memang tak dapat nak tuturkan dengan kata-kata. Benar kata orang, kalau sudah jodoh memang tidak akan lari ke mana. Begitu juga kalau sudah tiada jodoh, kalau bukan ditakdirkan untuk anda bersama dengan si dia maka terimalah dengan hati yang penuh rela

Tapi kita sebagai manusia tidaklah boleh berserah semata-mata.

Usaha perlu ada sama ada dari diri anda ataupun pasangan itu sendiri. Pilihan hati masing-masing juga berbeza.

Terutamanya golongan lelaki yang kadang-kadang mungkin sangat cerewet. Akan tetapi usahlah sampai terlalu cerewet dan mempunyai fantasi terlalu tinggi sampaikan sampai sudah tiada yang berkenan di hati.

Berani MASKULIN nyatakan kebanyakan lelaki mempunyai kecenderungan memilih pasangan yang muda dari mereka. Akan tetapi tahukah bahawa banyak kelebihannya jika anda berkahwin dengan wanita lebih berusia?

Contoh terbaik yang boleh kita sentiasa jadikan teladan ialah Rasulullah S.A.W yang berkahwin dengan Siti Khadijah yang lebih tua daripada baginda. Umur bukanlah penghalang untuk mengecap kebahagian dalam berumahtangga dan membina keluarga yang hidup dalam keadaan sejahtera.

Jadi kali ini MASKULIN ingin kongsikan kepada anda terutamanya lelaki tentang kelebihan mempunyai pasangan dan berkahwin dengan wanita lebih berusia.

NALURI KEIBUAN MENEBAL

Kebanyakan wanita yang lebih berusia mempunyai pemikiran yang lebih dewasa. Jadi secara semulajadi naluri keibuan telah wujud dalam diri mereka. Perasaan kasih sayang dalam membelai dan mendidik anak-anak sudah tersemat dalam diri mereka.

MATANG DAN BERDIKARI

Perempuan yang lebih berusia bersifat lebih matang dan bijak dalam mengendali masalah walaupun dalam situasi yang berbeza. Mereka akan lebih bersabar dalam mengharungi ujian kehidupan dan mampu mengendalinya seorang diri. Setelah memiliki teman hidup, mereka akan menjadi semakin matang.

TINGGI KEYAKINAN DIRI

Ya, kebanyakan wanita yang lebih tua berbanding lelaki memiliki keyakinan diri yang tinggi. Pengalaman mereka telah bertemu dengan seghala macam orang. Lalu menjadikan mereka lebih masak dengan selok-belok kehidupan menjadikan mereka seseorang ada keyakinan diri. Mereka juga dapat membantu suaminya dalam membuat sebarang keputusan dengan lebih matang.

LEBIH SERIUS

Apabila terbuka hati untuk berkahwin itu mereka sudah cukup jelas akan matlamat dan bukan sekadar main-main. Mereka lebih memandang serius akan hubungan suci yang bakal terjalin. Semuanya sudah sangat teratur dan mereka juga seorang yang mempunyai pendirian tetap.

BERSIKAP TERBUKA

Sudah lumrah, kebanyakan wanita terkenal dengan bahasa kiasannya yang kadangkala sukar ‘ditangkap’ oleh lelaki.

Keistimewaan dalam memiliki isteri yang lebih berusia adalah mereka lebih cenderung berinteraksi tanpa sebarang kiasan.


Mereka akan menyampaikan hasrat di hati dengan jelas agar si lelaki mudah memahaminya.

Lain orang mungkin lain sikapnya.

Terpulang kepada diri masing-masing untuk menilai pasangan. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat buat anda.

ARTIKEL ASAL DITERBITKAN DI PORTAL MASKULIN