KUALA LUMPUR : Kelab Belia Prihatin mewakili Malaysia ke Persidangan Serantau Belia - Asia dan Pasifik (RCOY-APAC) dengan fokus kepada isu perubahan iklim.

Dalam kenyataannya, penyertaan kelab yang mewakili suara belia dengan fokus agenda hijau, memperlihatkan kesungguhan belia di negara kita dalam diskusi perubahan iklim di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Persidangan dianjurkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dan Persekutuan Belia Antarabangsa PBB (UN1FY) berlangsung selama lima hari di Ormoc City, Wilayah Leyte, Filipina.

Wakil delegasi Malaysia, Irfan Kamaruddin, 29, merangkap Ketua Koordinasi Program Kebangsaan Kelab Belia Prihatin Malaysia berkata, libat urus bersama belia-belia antarabangsa adalah penting dalam berkongsi idea dan pendapat mengenai usaha tangani perubahan iklim.

"Secara dasarnya Malaysia dilihat mempunyai satu imej yang membanggakan terutamanya dalam rangka-kerja polisi, rancangan masa depan berkaitan perubahan iklim termasuk melalui Akta Perubahan Ikllim Negara yang dijadual dibentangkan tahun ini oleh Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA).

“Dasar-dasar Malaysia berkaitan alam sekitar seperti Sumbangan Ditentukan Negara (Nationally Determined Contributions), serta Dasar Negara mengenai Kepelbagaian Biologi 2016-2025 yang selari dengan komitmen Malaysia kepada Perjanjian-perjanjian Antarabangsa seperti Perjanjian Paris juga dilihat menjadi faktor penting dalam hal ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, KASA sudah menyediakan kerangka undang-undang perubahan iklim pada Disember tahun lepas yang akan menjadi asas kepada penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara.

Antara kandungan RUU berkenaan termasuk tadbir urus yang mengandungi peruntukan mengenai kerangka institusi mengenai perubahan iklim negara dan pembentukan sebuah jawatankuasa perubahan iklim.

Persidangan yang berlangsung selama lima hari dan bakal melabuhkan tirai hari ini turut mendapat kerjasama Wilayah Leyte, Filipina.

Ia adalah sebahagian daripada acara persediaan untuk Persidangan Air PBB 2023 dan Persidangan Parti Perubahan Iklim PBB ke-27 (COP27) di Sharm El Sheikh, Mesir pada November nanti.

Dua delegasi rasmi Malaysia yang turut menghadiri persidangan tersebut adalah Luqman Hakim Md Zim dan Rijal Rozman.