KAPIT: Anda pernah dengar mengenai ikan empurau dan tahu akan harganya yang mahal?
Mungkin ramai dalam kalangan anda yang tidak pernah dengar apatah lagi merasai keenakan ikan yang hanya boleh ditemui di Sarawak ini.
Bercakap tentang harga, ramai pasti terkejut kerana harga yang ditawarkan di pasaran untuk spesies ini adalah sekitar RM800 dan boleh mencecah RM1,500 sekilogram.
Ikan empurau merupakan spesies ikan yang hanya boleh ditemui di beberapa kawasan utama di Kapit dan Hulu Rajang seperti di kawasan sungai sekitar Sungai Rajang dan beberapa sungai di Baleh dan Baram.
Astro AWANI berkesempatan bertemu dengan penjual spesies ikan ini di pekan Kapit, Loh Hoe Hua, yang berkongsi kenapa harga spesies ikan itu begitu mahal.
Ujarnya ikan berkenaan bukan spesies yang ada setiap masa, dan bukan mudah untuk diperoleh.
“Ikan ini hanya boleh ditangkap mengikut musim, kalau musim hujan dan ketika air pasang memang mustahil untuk mendapatkannya.
“Ia selalu ada sewaktu musim kemarau sewaktu air sungai agak cetek namun hanya di kawasan tertentu, bukan semua kawasan.
“Paling penting, ikan ini hanya makan buah engkabang dan buah-buahan yang ada di kawasan sungai yang dihuni,” katanya.
Malah terdapat perbezaan dari aspek fizikal ikan empurau dari kawasan Sungai Rajang dengan yang terdapat di kawasan sungai sekitar kawasan Baleh.
Antaranya adalah perbezaan warna dan rasa ikan itu sendiri, dan itu faktor yang membezakan harganya.
Bagaimanapun tambahnya, permintaan terhadap kedua-dua jenis ini tetap tinggi baik daripada pelanggan sekitar Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia.
“Kalau ikan Empurau dari kawasan sekitar Sungai Rajang warna dia sedikit merah-merah dan rasa ini lebih sedap.
“Namun di sekitar sungai di kawasan Baleh, warna dia ada sedikit keputih-putihan dan rasanya juga sedap.
“Tetapi kedua-dua habitat ini tidak menjadi kayu pengukur kerana sekiranya ada stok, pasti akan dibeli oleh mereka yang menggemarkan rasa ikan ini,” tambahnya.
Ikan ini juga boleh mencapai berat maksimum sehingga 10 kilogram dan pasti harganya akan menjadi lebih mahal.
Selain itu, Loh berkata, antara petua lain untuk mengekalkan keenakannya ialah dengan tidak ‘membuang’ sisiknya sebelum dimasak.
“Jika sisik tidak dibuang, lebih sedap dan manis berbanding dengan ikan yang sudah dikikis sisiknya.
“Malah jika digoreng rangup, sisiknya boleh dimakan dan rasanya sangat berbeza dengan sisik ikan lain,” tambahnya.
Astro AWANI juga berkesempatan bertemu dengan Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut, bagi bertanyakan tentang strategi untuk terus mempromosi keunikan spesies ikan berkenaan.
Katanya, permintaan terhadap ikan empurau di daerah Kapit bukan hanya terhad di dalam negara malah ada juga penggemar ikan ini dari beberapa negara Asia lain.
“Ikan empurau dari Kapit memang mendapat permintaan tinggi dari beberapa negara seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China.
“Ikan empurau di sini merupakan spesies yang sangat berkualiti terutamanya di kawasan sungai di Baleh dan Katibas.
“Mungkin ramai tidak kenal spesies ikan ini disebabkan kurangnya promosi namun hal ini ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Juga disebabkan ikan ini susah nak dapat, kadang-kadang kuantiti yang diperoleh juga tidak banyak,” ujarnya.
Oleh itu, sekiranya anda ingin merasai keenakan rasa ikan ini, simpan duit dan datang ke Kapit sendiri.
Jika bernasib baik, dapatlah merasa nikmat kelazatan ikan empurau dan cara hidangan ikan ini sebenarnya sama dengan jenis ikan lain namun keaslian rasa lebih dapat dinikmati sekiranya dikukus.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
Syafik Shukri Jalil
Sun Nov 14 2021
Ikan empurau dari Kapit memang mendapat permintaan tinggi dari beberapa negara seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China. - Astro AWANI
Lelaki ragut wanita di Klang menangis dipenjara lima tahun, dua sebatan
Tertuduh, Muhammad Syafiei Hasan, 24, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar.
UAE salur AS$544 juta baiki rumah penduduk yang rosak akibat hujan
UAE meluluskan pakej bernilai AS$544 juta untuk membantu membaiki kediaman penduduk yang terjejas semasa cuaca buruk baru-baru ini.
‘Silent Cinema’ - Pengalaman baharu tonton filem dengan gaya hip dan trendy
Jangan lupa untuk membawa fon kepala atau fon telinga anda untuk merasai sendiri pengalaman baharu ini.
AWANI Ringkas: Lelaki lepas tembakan di KLIA didakwa cuba bunuh isteri
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Peniaga wanita ditahan jual beg tiruan dalam talian
Seorang peniaga wanita ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menjual beg tiruan dalam talian menggunakan cap dagangan secara salah.
Fahmi kesal Universiti Malaya jemput penceramah cetus kontroversi berkaitan Palestin
Beliau kesal terhadap Universiti Malaya kerana menjemput seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan mencetuskan kontroversi berkaitan Palestin.
Nahas helikopter Lumut: Mendiang Joanna Felicia disemadi dengan istiadat ketenteraan
Keranda mendiang diturunkan sekitar jam 11.20 pagi selepas upacara keagamaan berakhir, diikuti kawad hormat bersenjata disempurnakan oleh 12 pegawai dan anggota TLDM yang berpangkalan di Kuching.
DNB umum ahli lembaga pengarah baharu merangkumi lima pengendali rangkaian mudah alih
DNB melantik ahli lembaga pengarah baharu, yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin kanan industri telekomunikasi dan teknologi.
Warga emas maut langgar penghadang besi di Gua Musang
Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terlanggar penghadang besi di Jalan Persiaran Raya susur Taman Damar, Gua Musang.
Tun Abdullah dimasukkan ke IJN, dalam keadaan stabil - Keluarga
Keadaan Abdullah dilaporkan stabil dan masih dirawat di Unit Penjagaan Koronari (Coronary Care Unit).
Kenapa ikan empurau mahal sangat?
Ikan ini hanya makan buah engkabang dan buah-buahan yang ada di kawasan sungai yang dihuni.