Kumpul lebih 1,000 telefon bimbit model lama

Agensi
November 22, 2020 04:00 MYT
Sahabettin Ozcelik, dari Yksekova, Turki, mula mengumpul telefon bimbit pada tahun 1990. - Foto/portal Anadolu Agency
APABILA model telefon bimbit baharu muncul, ada dalam kalangan pengguna akan menjual telefon lama mereka di kedai telefon untuk mendapatkan model baharu dengan harga yang lebih murah.
Dalam istilah biasa yang kita gunakan, trade-in. Tetapi tidak semua telefon lama itu boleh dijual semula apatah lagi dengan lambakan model baharu yang muncul.
Jadi apa yang terjadi kepada model lama itu?
Seorang penjual telefon bimbit memilih untuk menyimpan telefon-telefon lama itu.
Setakat ini, lebih 1,000 telefon bimbit model lama dalam koleksinya.
Sahabettin Ozcelik, dari Van, Turki, mula mengumpul telefon bimbit pada tahun 1990.
"Pada mulanya, ia hanya satu pekerjaan. Tetapi lama kelamaan, saya terfikir untuk mengumpulnya kerana model-model lama ini sudah tidak dikeluarkan dan mempunyai nilai tersendiri," katanya kepada portal Anadolu Agency.
Ozcelik juga memberitahu, rumahnya pernah dipecah masuk beberapa tahun lalu dan kira-kira 700 buah telefon bimbit telah dicuri.
"Saya jaga dengan baik semua telefon dalam simpanan saya, malah ada sebahagian yang masih berfungsi dengan baik.
"Memang ada yang menawarkan wang yang banyak untuk beli, tetapi setakat ini saya tak ada perancangan untuk jual koleksi ini," ujarnya.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !

#Sahabettin Ozcelik #Turki #Telefon bimbit #koleksi #pengumpul telefon bimbit