DALAM usaha menyuntik pengalaman baharu kepada pelanggan setia, McDonald’s di United Kingdom akan memperkenalkan perkhidmatan McWaiters.

Menurut laporan akhbar Metro, McWaiters merupakan perkhidmatan khas iaitu makanan akan dihantar terus ke meja oleh seorang pelayan dan makanan akan dihidangkan atas dulang kayu.

Namun restoran makanan segera popular itu turut berkata bahawa pelanggan masih boleh membuat pesanan di kaunter kepada mereka yang sudah biasa dengan sistem itu.

Selain perkhidmatan ini, McDonald’s UK juga akan memperkenalkan hidangan Signature Collection – iaitu rangkaian burger gourmet – di lebih cawangan.

Tambah laporan Metro, burger gourmet berkenaan turut mendapat ‘lampu hijau’ daripada chef bertaraf Michelin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s UK, perkhidmatan sebegini adalah untuk menarik lebih ramai keluarga ke McDonald’s selain bersaing dengan restoran lain seperti Five Guys dan Shake Shack di UK.