KUALA LUMPUR: Diabetes sering dikaitkan dengan isu kesihatan termasuk penyakit jantung, penyakit buah pinggang dan amputasi, bagaimanapun ia juga boleh menyebabkan kehilangan penglihatan dan merupakan punca buta paling kerap bagi orang dewasa dalam umur bekerja.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretinal di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Peh Khaik Kee berkata kira-kira 64 peratus rakyat Malaysia tidak menyedari penyakit kencing manis menyebabkan penyakit mata.

Beliau berkata seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis iaitu anggaran 4.6 juta, dan seorang daripada tiga pesakit mengalami penyakit mata akibat diabetes.

"Daripada angka ini, satu pertiga akan mengalami penyakit mata yang mengancam penglihatan, justeru menunjukkan 500,000 rakyat Malaysia mempunyai penyakit mata diabetes yang mengancam penglihatan," katanya dalam kenyataan.

Dr Peh berkata diabetes menjejaskan mata dalam beberapa cara termasuk perubahan terhadap kanta mata yang mengakibatkan penglihatan kabur, meningkatkan tekanan pada mata yang boleh menyebabkan glaukoma, serta merosakkan saraf yang mengawal otot mata justeru membawa kepada penglihatan berganda.



SUNWAY-DIABETES 2 KUALA LUMPUR



Ia juga boleh mengakibatkan kerosakan pada salur darah dalam retina yang menyebabkan retinopati diabetes, yakni penyakit mata paling kerap dikaitkan dengan kencing manis, katanya.

Dr Peh berkata retinopati diabetes telah menjadi epidemik di negara ini memandangkan Malaysia membelanjakan 16 peratus daripada bajet penjagaan kesihatan untuk diabetes; menjadikan Malaysia dalam kalangan 10 negara dengan peratus tertinggi bajet penjagaan kesihatan dibelanjakan untuk diabetes.

"Ramai yang mengalami kencing manis tidak menjalani pemeriksaan mata berkala untuk memeriksa simptom bagi penyakit itu, dan retinopati diabetes tidak mempunyai sebarang simptom khusus, dan tidak menyebabkan kehilangan penglihatan sehinggalah pada peringkat akhir.

"Oleh sebab itu, terdapat ramai pesakit yang tampil pada peringkat kritikal dan itulah kenapa pentingnya saringan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kehilangan penglihatan hampir seratus-peratus boleh dicegah dengan saringan berkala.

Menurut Dr Peh, sebelum ini, pemeriksaan mata bagi retinopati diabetes menggunakan mikroskop lampu celah yang memfokuskan cahaya pada retina dan menyebabkan ketidakselesaan, terutama jika individu tersebut sensitif pada cahaya.

Namun, kini, katanya, terdapat kamera fundus medan ultra lebar yang boleh mengambil gambar retina tiga kali lebih baik daripada kamera standard dan pesakit tidak lagi mengalami kekaburan akibat cecair mata serta tidak perlu lagi menempuh pemeriksaan lampu celah yang tidak selesa.

Dr Peh berkata suntikan untuk merawat retinopati diabetes juga membuahkan hasil yang baik bagi pesakit di peringkat awal, bagaimanapun mereka perlu menjalani prosedur secara intensif, bergantung kepada jenis ubat, setiap empat atau lapan minggu untuk sekurang-kurangnya tiga tahun.

Katanya, terdapat juga kaedah pembedahan baharu dan peralatan yang kurang invasif dengan hasil yang lebih baik.

Hal itu, menurut Dr Peh, boleh menjadi langkah pencegahan dan merupakan suatu kemajuan besar dalam menangani penyakit itu.

Beliau turut menasihati mereka yang mempunyai ahli keluarga penghidap diabetes supaya memeriksa kandungan gula dalam darah dan mereka yang telah didiagnosis dengan penyakit itu agar berjumpa pakar oftalmologi untuk memeriksa retina, bagi mengesan penyakit mengancam penglihatan, sekali gus mencegah buta.

-- BERNAMA