Panik di pintu pelepasan? Ingat, kini hanya satu beg dibenarkan dalam kabin AirAsia!

Harits Asyraf Hasnan
Julai 3, 2020 09:36 MYT
Kini penumpang AirAsia hanya dibenarkan membawa sebuah bagasi kabin, sama ada beg komputer riba atau beg tangan atau beg kecil. - Foto Fail BERNAMA
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia kini mengeluarkan garis panduan baharu berkenaan jenis bagasi yang dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam kabin.
Menerusi artikel Polisi Penjarakan Sosial Bagasi Kabin yang kali terakhir dikemas kini pada Rabu lalu, hanya salah satu daripada tiga jenis bagasi kabin yang dibenarkan bagi setiap penumpang.
Tiga jenis beg tersebut adalah beg komputer riba, beg tangan dan beg kecil.
Bagaimanapun, setiap penumpang hanya dibenarkan membawa sebuah bag.
Malah, beg yang dibenarkan dibawa masuk ke dalam kabin perlu memenuhi tiga syarat ini:
i) Tidak boleh melebihi 40cm (Ketinggian) x 30cm (Lebar) x 10cm (Panjang)
ii) Tidak boleh melebihi berat 7kg
iii) Boleh dimuatkan di bawah tempat duduk hadapan
Bagaimanapun, jika bagasi kabin penumpang tidak boleh dimuatkan di bawah tempat duduk di hadapan, para penumpang dibenarkan mendaftar masuk masuk secara percuma bagasi kabin dengan syarat bagasi tersebut tidak melebihi berat 7 kg.
Sekiranya berat beg tersebut lebih dari 7 kg, caj tambahan akan dikenakan untuk setiap kilogram berat lebihan tersebut.
Polisi baharu itu dibuat selepas ruang storan bagasi di atas kepala penumpang juga tidak boleh digunakan ketika ini.
Difahamkan, keputusan itu adalah bagi mengurangkan pergerakan dan amalan penjarakan sosial antara penumpang di dalam pesawat dan dikuatkuasa selepas proses hibernasi pesawat AirAsia ditarik semula pada 29 April, 2020.
Baru-baru ini tular video dan kenyataan beberapa pelanggan AirAsia yang keliru dengan polisi baharu bagasi kabin syarikat tersebut.
#AirAsia #bagasi kabin #Beg AirAsia #beg kabin #cabin bag AirAsia #cabin luggage #penerbangan #penjarakan sosial