Pelanggan Starbucks biasanya akan menerima cawan kopi yang telah dilabel dengan nama sendiri, sama ada dengan tulisan pen penanda atau pelekat bercetak selepas membuat pesanan.

Namun bagi seorang pelanggan di St Augustine, Florida, namanya diganti dengan sindiran yang mengguris perasaan.

Menurut Action News Jax, pelanggan yang enggan dinamakan itu memesan white mocha bersaiz grande dan apabila kopinya diterima, pelekat yang sepatutnya memaparkan namanya tertulis:

DIABETES HERE I COME (Diabetes aku datang).


Sindiran tersebut memberi kesan mendalam kepada pelanggan tersebut kerana dia mempunyai dua adik-beradik perempuan yang benar-benar menghidap diabetes.

“Saya terus terbayang adik-beradik saya apabila membaca perkataan pertama itu. Saya teringat semula semua kesusahan yang mereka hadapi,” ujarnya.

Pengurus cawangan Starbucks tersebut telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan berjanji akan membuat siasatan lanjut.

Ketika dihubungi oleh Independent, Starbucks menyatakan kekecewaan terhadap insiden itu dan akan bekerjasama dengan pekerja syarikat agar perkara yang sama tidak berulang.