MUAR: Sektor pelancongan antara industri yang cukup terkesan sewaktu negara berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Sementara sebahagian aktiviti dan pengusaha pelancongan cuba bertahan dengan menanggung kerugian, sebahagiannya pula terpaksa 'mengaku kalah' lantas ditutup operasi.

Bagaimanapun, kelonggaran syarat yang membolehkan rakyat kembali bergerak dan keluar merentas sempadan membolehkan banyak pengusaha menyusun strategi serta azam untuk kembali bangkit.

Salah satunya adalah produk pelancongan di Muar, Johor iaitu Muar River Cruise. Ia telah kembali bertapak semula bagi merancakkan industri pelancongan setempat.

Jika satu ketika dahulu kawasan jetinya agak sunyi, kini harapan kembali bersinar apabila ia mula didatangi pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

Pengunjung telah kemabli memeriahkan sektor pelancongan di Muar.

Bagi mereka yang mahu menikmati pengalaman menenangkan di atas bot berkenaan, ia bukan sekadar menyajikan pemandangan indah di sepanjang tebing sungai.

Perjalanan yang mengambil masa selama 30 minit itu juga mendedahkan penumpang bot kepada sejarah dan latar belakang Bandar Maharani (Bandar Diraja Johor) itu.

Bagi Kapten Kapal, Noor Azam Ismail, pihaknya boleh tersenyum melihat kemeriahan pengunjung yang kembali mewarnai destinasi pelancongan di Johor.

Masjid Jamek Sultan Ibrahim Muar antara kawasan yang bakal dilalui.

Beliau mengakui proses pemulihan ekonomi mengambil masa yang agak panjang khususnya sektor pelancongan yang terjejas teruk.

“Setahun lebih juga kita tidak beroperasi dan hujung tahun lepas baru kita kembali operasi, dan Alhamdulillah, pengunjung pun dah mula ramai semula.

“Biasanya musim cuti sekolah dan perayaan memang cukup ramai dan kebanyakan mereka (pengunjung) datang dari luar,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Muar River Cruise mula beroperasi seawal jam 9.30 pagi dan tamat pada jam 5.30 petang.

Muar River Cruise turut menerima tempahan secara berkumpulan dan tidak hanya pada hujung minggu.

Antara kawasan yang dilalui termasuklah beberapa mercutanda tumpuan seperti Istana Persinggahan Muar, Bangunan Sultan Ibrahim, Jambatan Sultan Ismail, serta menara jam yang telah bertapak sejak tahun 1909.

Harga tiket yang ditawarkan pada kadar yang cukup berpatutan iaitu RM15 bagi kanak-kanak dan RM20 bagi golongan dewasa.

Industri Pelancongan | Muar River Cruise pacu sektor pelancongan di Johor