KUALA LUMPUR: Gara gara tidak memakai pelitup muka dengan cara yang betul, pengusaha kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri  dikecam warga netizen yang menasihatkannya untuk mengikut cara pemakaian sebenar demi kesihatan diri dan orang sekelilingnya. 

Ia selepas satu video dimuat naik menerusi akaun Instagram milik Alif memaparkan tindakannya itu ketika melancong di Pulau Langkawi, baru-baru ini.

Memetik laporan Gempak, Alif dan isterinya, Datin Nur Shahida dipercayai merakamkan perjalanan mereka bermula menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur hingga ke Pulau Langkawi.

Rata-rata netizen dilihat menegur pasangan terbabit terutamanya Aliff apabila hanya memakai pelitup muka di bahagian dagu dan mendedahkan hidung serta mulut.

Bagaimanapun dalam kapsyen Instagram Aliff turut menjelaskan bahawa beliau membuka topeng muka ketika hendak bercakap supaya suaranya lebih jelas dalam video terbabit.

Dalam video itu turut memaparkan Aliff bersama isteri dan krunya menginap di salah sebuah hotel di pulau berkenaan. 

Terdahulu, Kerajaan mengumumkan Pulau Langkawi sebagai projek rintis gelembung pelancongan mulai Sept 16 dan menjadi kayu ukur bagi pembukaan pulau peranginan lain.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan sebagai berkata, selain itu tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu di pulau itu turut diambil kira. 

Pembukaan destinasi pelancongan lain juga akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus imuniti kelompok, tambahnya.