KUALA NERUS: Kegembiraan berganda buat pasangan suami isteri, Izran Iskandar Rosli dan Noor Syafiqah Azim Mohd Zainurin apabila berpeluang berkongsi pentas konvokesyen, sehari selepas mereka diraikan sebagai raja sehari.

Lebih bermakna, Noor Syafiqah Azim yang berasal dari Semenyih, Selangor, adalah penerima Anugerah Pelajaran Diraja, iaitu anugerah tertinggi pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-12 yang berlangsung di sini, hari ini.

Menurut pasangan berusia 26 tahun itu, walaupun kepenatan kerana terpaksa menguruskan persiapan perkahwinan dan majlis graduasi dalam waktu yang sama, mereka tetap gembira dan teruja kerana kedua-duanya saat paling bermakna dalam hidup mereka.

"Selepas selesai majlis perkahwinan kira-kira pukul 9 malam tadi, kami terus berkemas dan bergerak dari Semenyih ke Terengganu pada pukul 11 malam.

Kalau ikutkan memang penat sangat kerana tak sempat berehat beberapa hari ini, tetapi sokongan daripada ahli keluarga yang turut hadir pada hari ini mengubat keletihan," kata Noor Syafiqah ketika ditemui selepas majlis konvokesyen mereka di UniSZA di sini, hari ini.

Pasangan pengantin baharu itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Infomatik Media), dengan Noor Syafiqah meraih anugerah Ijazah Pelajaran Diraja UniSZA selepas mencatat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.85.

Sementara itu, seorang lagi penerima Ijazah Pelajaran Diraja, Lim Jing Ying, 24, berkata anugerah tersebut menjadi pendorong untuk beliau terus berusaha menamatkan pengajian peringkat Sarjana yang sedang diikuti.

Katanya beliau kini sedang menyiapkan kajian dalam pembangunan aplikasi mudah alih diet untuk pesakit yang mengalami gangguan metabolisme protein.

"Selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Diatetik pada Februari 2020, saya meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang sama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Selesai sahaja peringkat Sarjana nanti, saya berhasrat untuk teruskan pula ke peringkat Doktor Falsafah untuk mengejar cita-cita sebagai pensyarah," katanya yang memperoleh CGPA 3.87.

Noor Syafiqah dan Lim masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM7,500 dan plak bersadur emas bernilai RM1,000.

-- BERNAMA