KUALA LUMPUR: Berawal dengan perkenalan pertama pada tahun 2003, Chong Li Yen tidak pernah terfikir akan bertemu jodoh dengan seorang lelaki beragama Islam.

Li Yen ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, beberapa episod ‘drama’ dilaluinya sebelum selamat diijabkabul pada Disember 2020 dengan pasangannya, Syafiq Saadon.

“Perjalanan kisah cinta kami dalam drama televisyen. Pertama kali saya beritahu bapa tentang suami, saya mendapat tentangan dari keluarga.

“Disebabkan perbezaan budaya dan agama, hubungan kami putus pada 2007 selepas empat tahun bercinta. Selepas itu kami membawa haluan masing-masing. Saya menyambung pelajaran di salah sebuah kolej di Kuala Lumpur manakala Syafiq di Kuantan.

“Memang sedih kerana dia merupakan lelaki pertama yang berjaya menawan hati saya sejak selepas tamat alam persekolahan. Saya sedar untuk kami berkahwin, jalannya bukan mudah kerana banyak hati perlu dijaga,” katanya.

Selepas 10 tahun, takdir menemukan mereka semula apabila Syafiq kembali ke Kuala Lumpur dan mendapat pekerjaan di ibu kota.

“Macam dalam lagu, ‘Jodoh Pasti Bertemu’, bayangkan selepas 10 tahun tidak berhubung, Allah SWT temukan kami semula.

“Kali ini kami nekad untuk bawa hubungan ke peringkat serius dan temukan Syafiq dengan ahli keluarga.

“Alhamdulillah, Syafiq banyak menerangkan keindahan agama Islam kepada keluarga dan selepas beberapa bulan, ahli keluarga bersetuju dengan hubungan kami,” katanya bukan mudah untuk memaklumkan hasrat berpindah agama kepada ibu-bapanya.

Li Yen yang mengekalkan nama asal memberitahu dia menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam dengan berbincang dahulu dengan keluarga memandangkang bab menukar agama ini sesuatu perkara yang sensitif bagi orang bukan Islam.

“Sepanjang perkenalan kami, Syafiq banyak memberi tunjuk ajar serta membimbing saya untuk mendalami agama. Bukan tertarik dengan Islam sebab berkahwin.

“Pada September 2019, saya melafaz kalimah syahadah dibimbing oleh Sheikh Hussein Yee bersaksikan ahli keluarga saya dan juga keluarga suami,” katanya.

Li Yen dan Syafiq bernikah di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

Kredit: Syafiq Liyen

Lebih istimewa, perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini membawa makna yang cukup besar kepada pasangan ini memandangkan ini kali pertama Li Yen meraikan secara meriah selepas negara melalui fasa pandemik.

“Kami menikmati makan tengahari di sebuah restoran bersama ahli keluarga lain dengan berpakaian tradisional Cina. Suami juga semangat dapatkan baju sedondon, maklumlah dia belum pernah makan besar bersama keluarga saya sebelum ini.

"Saya bersyukur kedua keluarga menerima kami dengan baik dan saya bertuah dapat menjalani kehidupan dalam dua keluarga berbeza agama yang bukan semua orang dapat memilikinya," akhirinya.