PM Najib mahu rakyat jadikan gaya hidup sihat amalan seharian

Bernama
Julai 22, 2017 03:28 MYT
Datuk Seri Najib berkata amalan riadah tidak seharusnya dilakukan untuk waktu tertentu sahaja seperti semasa menyertai acara larian.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru supaya rakyat di negara ini menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan seharian dan menitikberatkan tentang soal penjagaan kesihatan diri.
Beliau berkata amalan riadah tidak seharusnya dilakukan untuk waktu tertentu sahaja seperti semasa menyertai acara larian, sebaliknya perlu berterusan kerana amalan hidup sihat sepatutnya sebati dengan diri setiap individu.
"Betapa perlunya kita untuk beriadah, bersukan, menjalankan aktiviti fizikal, menjaga amalan pemakanan kita, pastikan cukup waktu rehat, jangan makan terlalu banyak makanan berlemak.
"Kalau kita merokok, berhenti melakukannya dan ini semua adalah sebahagian daripada inti pati kepada konsep gaya hidup yang sihat walaupun saya nampak ada yang tersenyum penuh makna bila saya katakan tentang berhenti merokok," katanya.
Najib berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyampaian Hadiah UDA Bridge Run 2017 di Dataran Pekan di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan UDA Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.
Beliau berkata UDA Pekan Bridge Run itu adalah satu contoh amalan hidup sihat dan peranan penganjurannya diambil oleh pihak korporat iaitu Uda Holdings Berhad yang memulakan acara tahunan itu tahun lalu.
Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan menyifatkan penganjuran acara itu sebagai 'serampang dua mata' kerana dalam masa sama turut mempromosikan Pekan sebagai antara tarikan pelancongan di Pahang.
"Kita ada banyak tarikan di Pekan yang boleh dimajukan sebagai produk yang ada nilai tambah dalam bidang pelancongan. Saya harap melalui acara ini kita dapat meningkatkan 'awareness' orang tentang Pekan.
"Mereka boleh tahu di mana lokasi Pekan, perkara yang menarik yang boleh mereka lakukan di sini sekali gus menikmati kepuasan sebagai pelawat di sini," kata Perdana Menteri.
Najib juga melahirkan rasa bangga dengan pencapaian UDA yang berjaya menarik lebih banyak penyertaan pada tahun ini iaitu 4,500 orang berbanding hanya lebih 1,000 peserta tahun lalu.
NAJIB-GAYA HIDUP 3 (AKHIR) PEKAN
Katanya ini membuktikan acara itu semakin popular dalam kalangan mereka yang meminati sukan larian, selain penganjuran tahun ini turut disertai peserta luar negara termasuk dari Kenya, Singapura, Indonesia, Filipina dan Jerman.
"Saya ucapkan selamat datang ke Pekan pada semua peserta antarabangsa dan saya harap kalian akan kembali tahun depan," katanya.
Najib juga menyifatkan pengajuran acara larian itu membantu menjayakan Tahun Melawat Pahang 2017, dan beliau berpuas hati dengan pencapaian kerajaan negeri yang berjaya meningkatkan kehadiran pelancong sebanyak 4.9 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac lalu jika dibandingkan untuk tempoh sama tahun lepas.
"Sebagai Anggota Parlimen (Pekan) saya sangat senang hati dengan acara seperti ini kerana kita mesti memenuhi kalendar di Pekan dengan pelbagai acara supaya kehidupan kita lebih bersifat menyeluruh," katanya.
Beliau juga berharap UDA akan meneruskan acara itu pada masa depan dengan lebih banyak hadiah lumayan untuk menarik lebih ramai peserta.
Selain itu, Najib juga memuji inisiatif UDA menggaji 90 peratus anak jati Pekan di hotel bertaraf empat bintang milik mereka di daerah itu selain akan membangunkan tanah seluas 202 hektar di hadapan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang akan membantu menambah nilai daerah ini pada masa depan.
-- BERNAMA
#gaya hidup sihat #Najib Razak #Perdana Menteri #riadah #UDA Bridge Run