LONDON: Ribuan pondok telefon berwarna merah yang ikonik di Britain akan dilindungi daripada dihapuskan begitu saja, lapor agensi berita AP.

Memetik agensi yang penentu dasar telekomunikasi di negara itu, keputusan berkenaan akan berkuat kuasa di bawah peraturan baharu.

Pondok telefon awam mungkin dilihat sebagai suatu yang tidak lagi diperlukan dalam era konsumer yang memiliki telefon pintar, namun pihak berkuasa komunikasi, Ofcom berkata, kewujudan pondok telefon itu masih boleh menjadi ‘talian hayat’ bagi seseorang pada masa-masa tertentu.

Pihak Ofcom mencadangkan peraturan untuk menghalang penutupan operasi 5,000 pondok telefon terutama di kawasan yang rendah jaringan telekomunikasi mudah alih.

Tambahnya, pondok telefon yang berada dalam kawasan yang cenderung berlaku kemalangan atau kes bunuh diri, dan juga telefon yang sudah lebih 52 kali digunakan dalam tempoh 12 bulan lalu, juga memenuhi kriteria untuk dipertahankan.



Ofcom memberitahu, masih terdapat sekitar 21,000 pondok telefon itu di seluruh negara, dan daripadanya hampir 150,000 panggilan telah dibuat untuk perkhidmatan kecemasan dalam tempoh antara Mei 2019 ke Mei 2020. Lebih kurang 45,000 panggilan lagi juga telah dibuat untuk menghubungi talian bantuan.

“Sebahagian pondok telefon yang kami mahu pertahankan mungkin juga rendah bilangan penggunaan untuk panggilan. Namun, bayangkan jika satu daripada panggilan itu adalah dari kalangan anak yang sedang cemas, mangsa kemalangan, atau seseorang cuba mengakhiri nyawa… talian pondok telefon itu tetap boleh menjadi talian hayat pada waktu yang mendesak.

“Kami juga mahu memastikan bahawa manusia tanpa liputan jaringan telekomunikasi, seperti di luar bandar, masih boleh membuat panggilan,” kata Pengarah Kesalinghubungan Ofcom, Selina Chadha.

BT Group, yang sebelum ini dikenali sebagai British Telecom, berkata hampir separuh daripada pondok telefon di United Kingdom telah dialihkan, berikutan kepesatan indusri telefon bimbit.

Ia berkatam lebih 6,500 pondok telefon yang tidak digunakan kini diubah menjadi perpustakaan komuniti mini, galeri seni atau unit storan di bawah perancangan kempen 'Adopt a Kiosk' iaitu membolehkan organisasi tempatan membeli pondok itu pada harga 1 Pound (RM5.60), dan menjadikannya kepada sesuatu yang bermanfaat.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !