HAMPIR separuh daripada penduduk dunia, atau sejumlah 3.5 bilion orang, menghidap penyakit mulut.

Kebanyakan kes dikesan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penyakit mulut yang paling biasa ialah kerosakan gigi, penyakit gusi yang teruk, kehilangan gigi dan kanser mulut.

Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengakui kerosakan gigi yang tidak dirawat menjejaskan hampir 2.5 bilion penduduk dunia.

WHO berkata kos perbelanjaan yang besar dan ketiadaan peralatan pergigian yang khusus di fasiliti penjagaan kesihatan primer sebagai dua daripada banyak faktor penyakit mulut, terutamanya di negara miskin.

"Kesihatan mulut telah lama diabaikan dalam kesihatan global, tetapi banyak penyakit mulut sebenarnya boleh dicegah," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Agensi itu mencadangkan semua negara memasukkan perkhidmatan kesihatan pergigian yang saksama sebagai sebahagian daripada pelan nasional mereka dan mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan pergigian ke dalam model penjagaan kesihatan utama.