BUTTERWORTH: 'Penjing' iaitu seni gabungan pokok kecil dan batu yang popular di Jepun serta China makin diminati rakyat negara ini.

Seni berkenaan berbeza dengan pokok bonsai kerana ia tidak membabitkan elemen tanah, sebaliknya anak pokok diikat pada batu dengan dawai mengikut bentuk yang diinginkan.

Azmi Yaakob, 52, dari Bagan Jermal, dekat sini, antara peminat seni penjing dan sanggup menghabiskan masa tiga jam sehari untuk mereka bentuk anak pokok mengikut citarasa sendiri.



"Masyarakat kita mungkin sudah biasa dengan pokok bonsai tapi seni penjing dilihat masih baru di negara ini walaupun sudah lama dilakukan di Jepun dan China.

"Ia adalah gabungan pokok dan batu menyebabkan pokok yang bersaiz besar menjadi pokok renek dan kelihatan menarik selain penggunaan tanah yang sangat sedikit," katanya.

Antara pokok yang sesuai untuk seni penjing ialah pokok asam, jawi, bebuas, juniper dan blue bell bahkan ada usaha untuk menghasilkan seni penjing menggunakan pokok semalu.

Ketika ini Azmi sudah menanam kira-kira 2,000 pokok sekitar gerai makan miliknya sehingga menjadi taman mini.



Pokok berkenaan dijual pada harga antara RM30 hingga RM400 sepokok mengikut jenis dan reka bentuk.

"Seni penjing memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Bukan mudah untuk mendapatkan reka bentuk yang menarik terutama pokok yang biasanya bersaiz besar seperti pokok asam," katanya.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!