Kata orang, kalau berusaha bersungguh-sungguh, lambat atau cepat kejayaan akan tiba jua akhirnya.

Itu teladan yang mungkin kita perlu contohi.

Teladan itulah ditunjukkan pada sikap seorang kanak-kanak dari Pulau Pinang yang kisahnya dikongsikan oleh selebriti terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi menerusi muat naik sebuah video di laman Facebooknya.

Kisah kanak-kanak bernama Rizal yang sanggup menumpang lori yang dipandu bapanya untuk menyertai satu pertandingan nyanyian di Shah Alam itu pantas mendapat perhatian ramai.

Dia dikatakan tiba di lokasi pertandingan tersebut agak lewat namun masih bersungguh-sungguh meminta penganjur untuk memberi keizinan kepadanya untuk membuat persembahan.

Penganjur dan peserta lain yang berada di situ yang berasa simpati kepadanya dan kagum dengan kesungguhan kanak-kanak itu akhirnya bersetuju untuk memberikan laluan kepadanya membuat persembahan sebagai peserta terakhir pertandingan.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Pak Nil, kanak-kanak lelaki itu menyampaikan lagu Ziana Zain bertajuk “Madah Berhelah”.


Suara Rizal ketika menyanyikan lagu itu nyata mengejutkan semua yang hadir dan mendapat pujian.

Sehinggalah juri sebulat suara menobatkan Rizal sebagai juara pertandingan tersebut dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Berkat kesungguhan bersusah payah datang dari jauh, menumpang lori ayah, menjadi peserta akhir namun akhirnya membawa pulang hadiah, kebanggaan dan kejayaan.

Tahniah dik!