KUANTAN: Sering kali masyarakat membayangkan subjek Pendidikan Seni Visual (PSV) dikhususkan untuk pelajar tidak cemerlang dan hanya ditawarkan kepada pelajar bukan aliran sains, yang rata-ratanya ditempatkan di kelas akhir.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin Kuantan, Rizuan Shah Hapipi berpendapat stigma ini perlu dikikis bagi mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dalam usaha memperkasakan subjek elektif, Rizuan bersama pengetua, Hanita Kassim menjayakan projek menaik taraf bilik seni di sekolah berkenaan.

“Sejajar dengan Program Sekolahku Sejahtera, kami bersama para pelajar menjalankan transformasi bilik seni agar menjadi lebih selesa dan kondusif.

“Usaha ini juga bagi memastikan pelajar aliran seni tidak berterusan ‘terasa’ sebagai kategori pelajar kelas kedua yang tidak diberikan perhatian,” katanya kepada Astro AWANI.

Kredit: Astro AWANI

Kredit: Astro AWANI

Bertemakan ‘less is more’, suasana bilik diubah berlatarkan warna pastel lembut antaranya mint green dan baby blue.

“Seringkali kita bayangkan bilik seni sebagai bilik tidak terurus, sarat dengan hasil kerja pelajar dan muram.

“Elemen cahaya semula jadi menjadikan ruang bilik seni ini tampil luas kerana penggunaan langsir separa gantung dan warna putih masih mendominasi keseluruhan warna dinding.

“Hasil karya pelajar masih dalam proses pemilihan namun sebahagian sudah dipamerkan untuk tatapan pengunjung untuk dijadikan inspirasi. Ruang pameran menekankan konsep ‘eye rest’ yang mana ruang tidak terlalu sarat dengan karya,” katanya.

Tambahnya, bilik seni turut dilengkapi komputer, projektor, LCD dan mesin cetak bagi kemudahan pelajar mengakses maklumat dan belajar secara optimum.

Kredit: Astro AWANI

Sementara itu, Pengetua Hanita Kassim memaklumkan menjadi tanggungjawabnya memastikan pelajar seronok ketika berada di sekolah.

“Pelajar merupakan klien saya. Sudah pasti saya mahu pastikan mereka gembira di sini. Semua pelajar akan diberikan perhatian dan layanan  secara sama rata dan tiada layanan berbeza,” katanya.