SHAH ALAM: Golongan wanita seharusnya tidak takut untuk menghadapi fasa menopaus, sebaliknya menempuhinya dengan sikap positif dan mengamalkan gaya hidup sihat, bagi mengawal stres berkaitan putus haid.

Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Dr Mohd Azizuddin Mohd Yussof berkata, golongan wanita yang mengalami peralihan menopaus akan melalui perubahan fizikal, mental, emosi dan kesihatan.

Katanya, antara tips untuk mengawal stres berkaitan menopaus ialah bersenam, tidur di bilik yang sejuk, berhenti merokok dan mengawal tekanan, dengan meluangkan masa membuat perkara yang disukai.

"Ramai wanita takut menghadapi perubahan menopaus, kerana pada mereka menopaus bermaksud bertambah usia atau tua, mengalami masalah kesihatan, kulit kendur, tulang patah dan terfikir akan mati," katanya kepada Bernama.

Oleh yang demikian katanya adalah penting bagi wanita yang menghadapi menopaus, untuk mencari kumpulan rakan untuk melalui fasa tersebut bersama-sama secara positif dan gembira, selain mengamalkan senaman secara berkala.

Dr Mohd Azizuddin berkata dengan mengamalkan senaman, ia akan membantu meningkatkan penghasilan endorfin, yang akan mengurangkan tekanan, melegakan kemurungan dan memperbaiki mood, golongan tersebut selain meningkatkan kepadatan tulang serta menjaga sendi dan otot.

"Senaman secara berkala juga mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan barah, selain dapat meningkatkan mood dan imej badan, yang seterusnya membantu meningkatkan dorongan dan kepuasan seks," katanya.

Katanya beberapa jenis senaman yang sesuai untuk diamalkan termasuklah, senaman menanggung berat badanbagi membina otot, membakar lemak dan mengekalkan ketumpatan tulang, dan senaman berkaitan kardio bagi meningkatkan kadar denyutan jantung seperti berjalan, berjoging dan berkebun serta berenang.

Mengulas lanjut katanya, purata usia menopaus wanita di seluruh dunia ialah 51 tahun dan kajian mendapati, terdapat korelasi antara kadar stres yang tinggi dan umur menopaus yang lebih awal.

"Namun ia tidak dapat menentukan sama ada stres adalah penyebab utama kepada umur menopaus yang lebih awal, kerana terdapat banyak faktor lain yang memainkan peranan dalam penentuan umur menopaus wanita," katanya.

Katanya, antara faktor yang mempengaruhi usia menopaus termasuk penggunaan pil perancang, kitaran haid yang tidak teratur, jumlah kehamilan, tahap plumbum serum, penggunaan lemak tak tepu, status sosioekonomi dan tahap pendidikan.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa kajian yang dilakukan mendapati menopaus dapat dikaitkan dengan ketidakhadiran kerja dan penurunan produktiviti kerja wanita.

Oleh demikian Dr Mohd Azizuddin berkata, pencegahan utama atau pengesanan awal masalah kesihatan adalah penting, dan harus dititik beratkan oleh wanita yang dalam peralihan menopaus.

"Perubahan gaya hidup dalam diet dan senaman, menjaga berat badan yang ideal, bersikap proaktif untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, termasuk mamogram dan pemeriksaan ketumpatan tulang dapat membantu meringankan perubahan ke era pasca-menopaus," katanya.

Mengulas mengenai penggunaan 'Evening Primrose Oil' (EPO) bagi merawat simptom menopaus, beliau berkata, masih banyak yang perlu dikaji berkenaan kesan suplemen berkenaan.

"Kajian berkenaan EPO kepada simptom menopaus telah dilakukan dalam beberapa kajian dan mendapati, EPO mampu mengurangkan simptom 'hot flash' (rasa panas yang datang tiba-tiba) dalam kalangan wanita menopaus, namun ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik, kerana ada kajian yang tidak memperoleh dapatan sedemikian," katanya.

-- BERNAMA


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !