KUALA LUMPUR: Berita baik buat komuniti ekonomi digital di Malaysia!

Web3Expo, sebuah acara mega yang akan menghimpunkan nama-nama besar dunia ekonomi digital, akan diadakan buat julung kalinya di Malaysia.

Apa itu Web3Expo?

Acara ini akan menampilkan pemain-pemain ekonomi digital Web3 seperti blockchain (teknologi rantaian blok), kripto dan NFT dari dalam dan luar negara untuk berkongsi idea mereka menerusi sesi dialog, forum dan perbentangan kertas kerja.

Selain itu, acara ini turut disertair industri yang terdiri daripada ahli akademik, pakar teknikal, usahawan dan lain-lain.

Turut diadakan ialah 'Blockchain Fair' yang akan disertai oleh syarikat-syarikat, agensi kerajaan, institut pendidikan, firma kewangan dan syarikat startup.

Antara aktiviti yang akan dianjurkan adalah seperti perjumpaan padanan perniagaan, sesi networking, bengkel dan pelbagai lagi.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Penggerak Ekonomi Digital Kebangsaan (NEDMA), penganjur Web3Expo, Datuk Mohd Fakhruddin, ekspo ini juga akan melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa. 

Mohd Fakhruddin berkata, menerusi Web3Expo ini, ia akan memberi ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mula mempelajari mengenai teknologi blockchain.

Pemahaman dan kecaknaan masyarakat berhubung industri Web3 diharap akan mewujudkan sebuah ekosistem dunia digital yang besar, sekali gus mewujudkan permintaan yang tinggi apabila orang ramai, khususnya para usahawan maklum faedah blockchain di dalam perniagaan mereka.

Acara ini juga diharap dapat menarik pelabur dari dalam dan luar negara untuk meneroka segmen pasaran penyedia perkhidmatan yang secara tidak lansung akan melonjakkan ekonomi negara.

Web3Expo ini juga bakal menjadi pemangkin utama terhadap industri "Pelancongan Web3" (Web3 Tourism), yang boleh dijadikan sebagai tarikan baru perlancongan negara.

Walaupun begitu, kebaikan terbesar yang perlu untuk kita garap adalah dengan menjadikan Malaysia antara negara terkerhadapan dalam ekonomi digital.