Yayasan Sime Darby (YSD) meneruskan selama tiga tahun lagi bantuan dan komitmen RM1.2 juta kepada Skim Kehidupan Positif Berani (PAL) Yayasan AIDS Malaysia (MAF) sehingga 2020.

Anggota Majlis Pengelola YSD Datin Paduka Zaitoon Datuk Othman berkata komitmen itu didedikasi kepada usaha meneruskan kehidupan orang-orang kurang bernasib baik yang menanggung HIV.

"Ini akan membolehkan mereka mendapatkan rawatan peringkat kedua anti-retroviral (ARV) di hospital-hospital utama kerajaan secara percuma dan menyelamatkan kehidupan 75 pesakit," kata beliau dalam satu kenyataan.

YSD telah bekerjasama dengan MAF sejak 2014, dengan jumlah komitmen RM2.7 juta dan yayasan telah memberi komitmen RM5.7 juta kepada Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan MAF untuk pelbagai inisiatif berkaitan HIV/AIDS.

Pada masa ini, kurang daripada 40 peratus rakyat Malaysia yang menanggung HIV sedang menerima rawatan.

"Kami harap dapat mengubah rakyat yang kami bantu tidak sahaja dari segi kesan kesihatan tetapi juga kualiti kehidupan mereka yang bebas dari impak negatif dipencil dan didiskriminasi, dengan itu menamatkan AIDS menjelang 2030," kata Zaitoon.

-- BERNAMA