Kenapa kata kunci Mamat Exist trending? Kita di tahun 1990an lagi kah?

Itu antara reaksi nakal pengguna media sosial hari ini apabila mendapati nama pelantun vokal Mohd Ali bin Kamarudin, 37 tahun atau lebih popular sebagai Mamat tiba-tiba menjadi perhatian orang ramai.

Mamat bukanlah juara musim pertama Gegar Vaganza yang diadakan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada malam tadi, tetapi namanya kekal sebagai 10 perkara paling dibincangkan di twitter Malaysia sehingga kini.

Saya masih ingat lagi kenangan tahun 1991, ketika itu saya baru berusia 8 tahun, lagu Untukmu Ibu & Rahsia Pohon Cemara sememangnya sangat popular serta menjadi siulan. Siapa yang tidak memiliki kaset kumpulan Exist pastinya sesuatu yang dilihat janggal. Mamat ketika itu seingat saya berusia mungkin 3-4 tahun lebih tua daripada saya. Sebagai peminat, saya mengikuti setiap perjalanan karier serta kehidupan peribadinya ketika itu. Cerita mamat kemalangan kerana menyelamatkan seekor kucing, Mamat mula pecah suara dan pengakhiran yang sedih apabila khidmat vokal Mamat tidak lagi diperlukan oleh kumpulannya menjadi ratapan ribuan peminatnya. Penutup babak akhir yang mungkin mencalarkan nama serta populariti Mamat adalah kes tahun 2011 yang merebahkan karier penyanyi dari Johor Bahru ini. Siapa sangka, tahun 2015 Mamat Exist bangkit semula dan berjaya menarik kembali perhatian peminat hiburan tanahair apabila memperoleh tempat ke-3 program Gegar Vaganza disamping turut memenangi persembahan terbaik daripada undian sms.


Sebagai peminat, mungkin ramai yang mahu melihat Mamat Exist terus fokus kali ini dan mengambil ikhtibar daripada babak-babak hitam dalam hidupnya. Saya yakin, suara Mamat masih lagi mahu didengari malah generasi baru turut tercari-cari siapa gerangan Mamat Exist. Melalui youtube, peminat baru & lama boleh mencari lagu-lagu yang pernah mengangkat nama Mamat serta Exist seperti Salju Di Danau Rindu, Anugerah, Nota di Lautan Sepi dan lain-lain lagi. Ini mungkin peluang ke-2 untuk Mamat, semoga peluang ini digunakan sehabis baik untuk kembali mewarnai dunia hiburan tanahair.