KUALA LUMPUR:Filem di laman pembiayaan ala ‘crowd funding’ Kickstarter telah mencatat sumbangan sebanyak AS$102.7 juta sejak April 2009.

Banyak filem yang mendapat dana awam tersebut menerima pengiktirafan di festival filem dan tak kurang juga ditayangkan di rangkaian televisyen seperti HBO, PBS, Showtime dan Sundance.

Dana tersebut disumbangkan oleh hampir 90 ribu peminat filem yang membantu membiayai 8567 filem bebas, cereka, dokumentari, filem pendek dan siri web. Angka tersebut dikongsikan oleh Kickstarter.

Kickstarter turut sama berkongsi berkongsi beberapa data menarik mengenai pembiayaan filem menerusi laman tersebut.

Sekurang-kurangnya terdapat 86 filem yang dibiayai Kickstarter telah ditayangkan di lebih 1500 panggung wayang di Amerika Utara. Manakala pada tahun ini, bakal menyaksikan 14 filem lagi akan ditayangkan pada umum.

Menurut laman kritikan filem Rotten Tomatoes, tiga daripada 20 filem yang menerima rebiu terbaik di tahun 2012 adalah filem yang dibiayai oleh Kickstarter.

3 filem yang dibiayai Kickstarter mendapat rebiu tertinggi sepanjang tahun 2012

3 filem yang dibiayai Kickstarter mendapat rebiu tertinggi sepanjang tahun 2012

Filem tersebut adalah The Waiting Room, Brooklyn Castle dan Ai Wei Wei: Never Sorry. Sebelum ini pada tahun 2011, filem Pariah turut sama menerima rebiu terbaik daripada Rotten Tomatoes.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, dua filem yang dibiayai secara dana awam ini telah menerima pencalonan Oscars iaitu Sun Come Up dan Incident In New Baghdad.

Lima lagi filem dokumentari yang dibiayai oleh Kickstarter turut sama disenaraipendekkan untuk Oscars 2013 termasuk The Waiting Room dan Ai Wei Wei: Never Sorry.

Selain itu, terdapat 49 filem lagi menerima pengiktirafan dan ditayangkan di Festival Filem Sundance. Manakala 57 judul lagi ditayangkan di Festival Filem SXSW dan 21 yang lain ditayangkan di Festival Filem Tribeca. Tidak sekadar menerima pengiktirafan malah filem-filem ini turut ditayangkan di saluran-saluran televisyen utama.


Belajarlah daripada Atambua 39 Derajat Celsius

Trend pembiayaan awam projek-projek filem menerusi Kickstarter membuktikan masih ada peminat dan penonton mahu melihat karya-karya seni kreatif bermutu tinggi ini direalisasikan.

Melalui Kickstarter juga, ianya membuka lebih banyak peluang kepada pembikin filem bebas berkarya dan memecah monopoli pembiayaan studio-studio filem besar.

Namun persoalan ini sering sahaja diutarakan kepada pembikin-pembikin filem bebas di negara kita. Lazimnya, mereka terpaksa mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk membiayai produksi mereka.

Saya masih ingat ketika kami melakukan rakaman Bisnes Alternatif sempena Creative Marketplace 2012 ketika Forum Ekonomi Islam Sedunia yang berlangsung di Johor Bahru, Disember lepas. Rewan Ishak yang mengarahkan filem pendek Pasport Ekspres berpendapat rakyat Malaysia masih lagi belum mencapai tahap apresiasi seni kreatif sepertimana di Barat.

Kita mempunyai banyak idea-idea filem yang inovatif dan kreatif, permasalahan yang kerapkali timbul, adakah masyarakat kita menghargai nilainya dan sanggup mengeluarkan wang untuk membiayai filem-filem tersebut?

Mungkin ada benarnya apa yang dikatakan Rewan Ishak mengenai kencenderungan masyarakat Malaysia dalam menghargai seni kreatif terutamanya filem.

Tapi itu bukanlah halangannya kepada pembikin filem dari Indonesia Riri Riza dan Mira Lesmana. Filem mereka, Atambua 39 Derajat Celsius menerima pembiayaan awam menerusi laman seumpama Kickstarter iaitu Wujudkan.

Atambua 39 Derajat Celsius memerlukan 300 juta Rupiah dan berjaya mengumpulkan 312 juta Rupiah. Lebih manis buat Riri Reza dan Mira Lesmana, filem itu bukan sahaja direalisasikan namun terpilih ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa.

Menariknya, tiket filem ini turut ‘sold out’ ketika tayangan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2012.


Atambua 39 Derajat Celsius menerima pengiktirafan di Anugerah Pilihan Juri INALCO di  Festival Filem Vesoul, Perancis. Dan baru-baru ini, filem itu menerima Anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa ASEAN yang dilangsungkan di Kuching Sarawak.

Ditanya mengenai apakah pulangannya kepada pembiaya yang sanggup mengeluarkan wang daripada poket mereka untuk melihat filem ini dihasilkan, Riri Riza menjawab, “Sebenarnya yang paling penting itu bukan hanya keuntungan yang dihitung dalam bentuk material. Namun, mereka para pembiaya akan merasa puas kerana telah menyumbang dalam mencipta inovasi dan kreativiti untuk filem ini. Dan dalam konteks yang luas juga akan turut memajukan industri perfileman di Indonesia.”

Riri Riza dan Mira Lesmana bawa inovasi dalam industri filem Indonesia

Riri Riza dan Mira Lesmana bawa inovasi dalam industri filem Indonesia


Nah, itu jawapan daripada pembikin filem Indonesia! Demi memajukan industri perfileman mereka dan bukan sekadar keuntungan semata-mata.

Saya percaya, filem bukan sahaja perlu inovasi dan kreativiti dalam pembikinannya, malah pembiayaannya. Jika wang adalah halangan, ‘crowd funding’ mungkin jawapan kepada permasalahan itu. Mungkin benar kata Rewan Ishak, masyarakat kita belum cukup ‘pandai’ menghargai nilai seni kreatif, tapi jika tidak dipecahkan ruyungnya, manakan dapat sagunya?

Mampukah model pembiayaan filem ala ‘crowd funding’ ini digunapakai di Malaysia? Ini adalah cabaran saya kepada pembikin-pembikin filem bebas di Malaysia. Tunggu apa lagi, kejarlah impian filem anda.