"Ramadan kali ini menginsafkan saya agar tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang," kata seorang banduan dari Penjara Alor Setar yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 32.

Dia adalah antara 50 banduan dari penjara tersebut yang diberi peluang untuk berbuka puasa bersama keluarga mereka malam Sabtu pada Program Imarah Ramadan anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM).

Mohamad bersyukur kerana dapat berbuka puasa bersama ibunya selepas enam bulan merengkok dalam penjara atas kesalahan jenayah samun.

"Saya agak sedih apabila terpaksa menyambut Ramadan kali ini dalam penjara dan tidak bersama ibu dan tiga adik saya seperti sebelum ini," katanya.

Anak sulung ini yang pernah melakukan kegiatan samun sebanyak tiga kali berazam untuk menjadi insan yang lebih berguna apabila dibebaskan kali ini.

Seorang banduan wanita Mila, 28, berkata ini kali pertama dia dapat berjumpa bapanya selepas dua tahun menjalani hukuman.

Dia yang mempunyai dua orang anak berusia tiga dan 11 tahun berkata sebelum ini dia hanya mampu melihat tanpa dapat menyentuh wajah bapanya yang sentiasa melawatnya.

"Saya rasa gembira dapat bersemuka dengan ayah walaupun agak sedih tidak dapat bersama anak-anak saya," katanya yang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah.

Ibu kepada seorang banduan, Zamfuza Saidin, 55, berkata ini kali pertama juga dia dapat bertemu dan berbuka puasa dengan anak lelakinya dan merasa gembira dapat makan semeja dengan anaknya.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata program tersebut diadakan pihaknya bersama Jabatan Penjara Malaysia untuk menyampaikan sumbangan makanan kepada anggota keluarga dan banduan.