Hujan lebat mengiringi pengebumian jenazah pertama mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang dikenal pasti sebagai Hayati Lutfiah Hamid pada Khamis.

Allahyarham Hayati, 39, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Desa Sawo Tratap di Sidoarjo dekat sini pada 5.35 petang waktu tempatan, bersebelahan pusara bapa mentuanya.

Ratusan penduduk kampung memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, seorang daripada 162 penumpang dan anak kapal pesawat Airbus A320 yang terhempas di Laut Jawa ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada Ahad.

Identiti Hayati disahkan pada Khamis berdasarkan hasil bedah siasat, padanan cap jari dan barangan peribadinya seperti kad pengenalan dan rantai yang tertulis namanya.

Jasad Hayati merupakan antara enam jasad yang dibawa ke Hospital Bhayangkara di sini, untuk bedah siasat dan proses identifikasi.

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia, F Henry Bambang Soelistyo memberitahu sidang media di Jakarta bahawa sehingga kini, sembilan mayat telah ditemui.

Ia merangkumi enam yang dibawa ke Hospital Bhayangkara (termasuk satu yang telah dikebumi), dua yang berada di Pangkalan Bun, Kalimantan dan satu mayat yang dijumpai KD Lekir milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam catatan di laman Twitternya berkata pihaknya mengeluarkan satu jasad lelaki tidak beridentiti di laut dan akan diserahkan kepada pihak Indonesia pada Jumaat.

Pesawat QZ8501 berlepas dari Surabaya pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).