Susulan keberangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke sesi taklimat situasi banjir di negeri Perak dan lawatan Baginda berdua ke pusat-pusat pemindahan mangsa banjir, Baginda telah menitahkan tiga perkara untuk diambil tindakan.

Baginda bertitah agar kesemua masjid di negeri Perak mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat pada 26 Disember 2014 bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk meringankan tanggungan dan ujian agar situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sedia kala

Selain itu, sebarang acara konsert atau acara berunsur hiburan sekiranya ada dirancang menjelang sambutan tahun baru, termasuk acara-acara seumpamanya yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri atau mana-mana agensi Kerajaan Negeri, hendaklah dibatalkan.

Baginda juga memberi perkenan untuk Yayasan Sultan Azlan Shah mengurniakan dua pasang pakaian dan kasut sekolah kepada setiap pelajar dari kalangan mangsa banjir.

Kenyataan media dari Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Kuala Kangsar itu dikeluarkan dengan titah perkenan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melalui Setiausaha Sulit Baginda, Toh Demang Perwira Mohd Rasid Hussin Shah.